X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Pahang benar rapat saf solat jemaah mulai 1 April

Gambar hiasan
A
A

KUANTAN - Pahang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau secara merapatkan saf tanpa sentuhan fizikal berkuat kuasa 1 April ini.

Pelaksanaannya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Kebenaran rapat saf solat Jumaat dan solat fardu berjemaah itu antara yang tersenarai dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu aktiviti ibadat di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dalam fasa endemik di negeri ini sebagaimana diumumkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam kenyataan melalui laman Facebook rasminya.

Berdasar SOP itu, kebenaran merapatkan saf mengikut kadar jarak sejadah bersaiz standard minimum 110 sentimeter (cm) panjang dan 70 cm lebar yang dibawa sendiri para jemaah serta tidak berlaku sentuhan fizikal.

Jaip menjelaskan, bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau serta kemampuan terhadap kawalannya selain terbuka kepada semua sama ada yang telah atau belum divaksin.

"Bagaimanapun, individu bergejala atau menerima arahan wajib kuarantin adalah dilarang hadir ke masjid atau surau.

"Masjid dan surau juga digalakkan menyediakan ruang solat khas untuk jemaah musafir," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, bagi aktiviti solat Jumaat dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lokaliti bersasar, hanya 40 jemaah dibenarkan tidak termasuk pegawai masjid dan hanya 12 jemaah dibenarkan untuk solat fardu berjemaah.

Turut dibenarkan aktiviti pengajian ilmu dan keagamaan serta sambutan hari kebesaran Islam.

"Jamuan di masjid dan surau juga dibenarkan namun digalakkan secara berbungkus manakala jamuan secara berhidang perlu disediakan pramusaji.

"Begitu juga dengan majlis akad nikah, ia dibenarkan diadakan di masjid namun tertakluk kepada SOP yang ditetapkan," jelasnya.

Jaip menjelaskan, kehadiran imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang adalah dibenarkan dan mereka perlu melakukan ujian saringan menggunakan kit ujian kendiri dengan disaksikan oleh penganjur, selain perlu melengkapkan permohonan dalam sistem e-Perakuan.

Menurutnya, bagi jemaah bukan warganegara atau bukan ahli kariah kawasan, serta kanak-kanak berusia lima tahun ke atas dibenarkan hadir ke masjid atau surau dengan mematuhi SOP ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

"Masjid dan surau hendaklah disanitasi sekerap mungkin dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan melakukan pemeriksaan pada bila-bila masa.

"Masjid atau surau yang didapati gagal mematuhi SOP dan berlaku penularan jangkitan Covid-19 ekoran aktiviti dijalankan boleh dikenakan tindakan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!