X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Malaysia, China perkukuh kerjasama perubatan tradisional Cina

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuhkan kerjasama dengan China bagi membangunkan perubatan tradisional Cina.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu selari dengan visi untuk mengintegrasikannya bidang perubatan moden sebagai suatu usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat.

"Bagi mencapai visi ini, industri perubatan tradisional dan komplementari akan diprofesionalkan dengan memastikan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari adalah selamat, berkualiti serta boleh diakses oleh semua," katanya dalam ucapan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Perubatan Tradisional antara Malaysia dan China.

Majlis MoU itu ditandatangani secara dalam talian antara Khairy yang mewakili Malaysia dan China diwakili oleh Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM), Dr Yu Wen Ming.

Menurutnya, MoU itu merupakan suatu komitmen bertujuan menggalak, mempermudah dan mempromosi kerjasama antara kedua-dua negara baik dari segi amalan, bahan mentah dan produk, pendidikan serta latihan serta penyelidikan.

"MoU ini juga selaras dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Kerajaan Malaysia yang mengiktirafkan sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional serta membolehkan negara bergerak ke arah kesihatan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, kementerian berharap rangkaian komunikasi yang berkesan dapat terus dimantapkan bagi tujuan pertukaran maklumat teknikal, saintifik dan kawal selia seterusnya.

"Saya yakin dengan usaha dan komitmen daripada kedua-dua negara, hubungan kerjasama dua hala akan menjadi lebih kukuh dengan saling memahami dan menghormati warisan masing-masing dalam perubatan tradisional," katanya.

Khairy berkata, MoU itu juga satu pencapaian serta usaha penting buat kerajaan Malaysia dan China dalam bidang perubatan tradisional Cina.

"Ini juga merupakan bukti hubungan erat antara dua negara yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya.

Ujarnya, Malaysia dan China sebelum ini telah menandatangani MoU seumpamanya pada 7 November 2011 di Beijing yang mana

Malaysia telah diwakili Menteri Kesihatan pada ketika itu iaitu Tan Sri Liow Tiong Lai manakala China pula diwakili bekas NATCM, Dr Wang Guoqiang.

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pelbagai kerjasama dalam bidang perubatan tradisional telah dilaksanakan di bawah MoU tersebut, termasuklah sesi perkongsian maklumat, sama ada melalui bengkel, persidangan atau mesyuarat, latihan kepada anggota kesihatan KKM di institusi atau hospital di China, dan deputasi pakar perubatan tradisional Cina China untuk menawarkan perkhidmatan di hospital KKM.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!