Perang mulut MB vs Pengerusi PKR: Hanya ribut dalam cawan

Abdul Yunus ketika ditemui pada sidang media, hari ini.
Abdul Yunus ketika ditemui pada sidang media, hari ini.
A
A
A

IPOH - Perang mulut antara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengenai pertukaran exco kerajaan negeri disifatkan hanyalah 'ribut dalam cawan'.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, semua masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan cara yang baik.

Katanya, PH merupakan kerajaan di Perak dan segala masalah yang berlaku tidak harus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Saya dah lama dalam politik, 20 tahun dalam PKR, tiga penggal sebagai wakil rakyat, bagi saya ini semua hanya ribut dalam cawan.

"Apa perkara pun boleh selesai dengan cara baik dan hari ini PH dah jadi kerajaan dan harapan saya, apa sahaja isu perlu diselesaikan secara berhemah ibarat satu keluarga supaya rakyat yakin dengan kerajaan baharu," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Air Antarabangsa Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Dalam pada itu, Abdul Yunus mengakui tiada sebarang perbincangan dan pertemuan diadakan dengan Farhash Wafa Salvador mengenai cadangan pertukaran exco kerajaan negeri.

Sebelum ini, Farhash Wafa Salvador mendedahkan PKR Perak bercadang menukar exco kerajaan negeri yang mewakili parti itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semalam, Ahmad Faizal dalam sidang media memaklumkan sebarang cadangan untuk tujuan itu perlu melalui pucuk pimpinan parti.

Farhash Wafa Salvador kemudiannya menjelaskan bahawa cadangan itu sudah dibincangkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah pertemuan juga telah dibuat bersama Ahmad Faizal tentang perkara tersebut.

PKR mempunyai dua exco kerajaan negeri di dalam kerajaan iaitu Abdul Yunus yang merupakan ADUN Kuala Kurau dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.