Penunggang, pembonceng maut langgar treler

Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang, awal pagi Khamis. - Gambar hiasan
Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang, awal pagi Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang di sini pada awal pagi Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi itu, penunggang, Mohamad Izhar Iskandar Mohamad Pazelong,18, dan pembonceng, Wan Ezremy Shaqir Wan Erman Shafri,18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu treler, Mook Peng Cheong, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar treler yang berhenti di bahu jalan arah bertentangan.

"Akibat kejadian, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.