Pelan strategik lonjak sektor pelancongan negara

Nancy (empat dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zainuddin Wahab (tiga dari kiri) bersama wakil penggiat industri pelancongan ketika melancarkan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia, pada Rabu.
Nancy (empat dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zainuddin Wahab (tiga dari kiri) bersama wakil penggiat industri pelancongan ketika melancarkan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia yang menggariskan enam teras dijangka mampu melonjakkan semula industri pelancongan selepas pembukaan sempadan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, enam tonggak pelan strategik itu ialah meningkatkan pelancongan domestik; menjalin perkongsian pintar; meningkatkan promosi pelancongan dalam dan luar talian; mengoptimumkan komunikasi strategik dan penglibatan media; melaksanakan gelembung perjalanan dan melaksanakan transformasi strategik.

“Selepas lebih setahun Covid-19 menyebabkan pelancongan terhenti, Malaysia bersedia untuk membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsanya dan akan memasukinya fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022,” katanya ketika melancarkan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia di sini, pada Rabu.

Justeru katanya, penting untuk pemain industri kekal fokus untuk menyokong pemulihan yang mampan dan membina semula sektor pada tahun-tahun akan datang.

“Semua pihak berkaitan mesti bekerjasama untuk menetapkan hala tuju baharu setanding dengan aliran pelancongan global.

Beliau berkata, langkah bersepadu perlu digerakkan segera untuk memulih dan membina semula industri dengan strategi yang lebih inovatif.

“Pada tahun 2020 ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia menjunam 83.4 peratus dan hanya empat juta pelancong dicatatkan berbanding 26.1 juta pada 2019.

"Sementara kita menunggu pelancongan antarabangsa bangkit semula, pelancongan domestik terus memacu pemulihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nancy berkata, pelancongan domestik dan percutian singkat, aktiviti riadah terbuka dan berasaskan alam semula jadi, serta pelancongan luar bandar kini menjadi tumpuan utama sektor pelancongan 2022.

“Selepas pelancaran vaksinasi yang meluas, penarikan sekatan perjalanan, penyelarasan standard dan maklumat yang lebih jelas tentang protokol perjalanan ini akan mempercepatkan pemulihan pelancongan antarabangsa.

"Diharapkan strategi dan rancangan ini serta sokongan industri akan dapat melonjakkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini dengan sasaran dua juta ketibaan pelancong antarabangsa membabitkan pulangan hasil RM8.6 bilion," katanya.

Nancy berkata, kedatangan pelancong antarabangsa dijangka tiba berperingkat tahun melibatkan pelancong dari negara jiran iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei, diikuti negara Asia Tenggara serantau.

"Saya percaya inilah masanya untuk Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada bagi membina keyakinan dan pertumbuhan semula sektor pelancongan.

"Penciptaan produk yang bermakna dan bernilai tinggi, juga diiringi kecemerlangan dalam kualiti perkhidmatan, industri pelancongan akan dapat menarik lebih ramai pelancong yang sanggup membayar harga premium," katanya.

Tambahnya lagi, tumpuan masih diberikan kepada penganjuran acara bisnes yang mampu memberikan pulangan kepada ekonomi negara.

“ Acara bisnes mereka lazimnya akan datang bawa keluarga, jadi perbelanjaan yang dikeluarkan akan jadi tiga kali ganda berbanding pelancong biasa,” katanya.

Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 2021 dan Matlamat Pembangunan Mampan UNWTO (SDG).