Bukan mudah didik seorang khalifah

Bukan mudah mendidik anak yang masih mentah usianya, namun jika bukan kita sebagai ibu bapa, penjaga mahupun pendidiknya, siapa lagi yang akan melaksanakan tanggungjawab tersebut. - Foto Bernama
Bukan mudah mendidik anak yang masih mentah usianya, namun jika bukan kita sebagai ibu bapa, penjaga mahupun pendidiknya, siapa lagi yang akan melaksanakan tanggungjawab tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

ESOK bakal melakar satu lagi sejarah baharu buat Malaysia. Selepas lebih dua tahun bergelut dengan Covid-19, negara akhirnya memasuki fasa peralihan endemik.

Ya, itu adalah antara detik yang dinanti-nantikan kerana kita akan kembali kepada kehidupan normal.

Bayangkan sepanjang tempoh tersebut, kebanyakan kita terpaksa bekerja dari rumah dan anak-anak pula mengikuti sesi pelajaran online. Lebih menyedihkan apabila kehendak si kecil untuk bermain di luar rumah terpaksa disekat dek penangan Covid-19.

Situasi itu begitu membimbangkan ibu bapa kerana anak-anak tidak boleh bersosial sekali gus memberi kesan kepada perkembangan si kecil.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli, virus korona telah memberi kesan dari sudut emosi, kognitif dan tingkah laku kanak-kanak.

Katanya, sifat kanak-kanak terutama yang berumur dalam lingkungan empat hingga 11 tahun lazimnya periang, suka bergaul dan bermain bersama kawan-kawan, namun semuanya menjadi terbatas berikutan pandemik tersebut.

Selain itu, terdapat juga kanak-kanak yang mengalami tekanan dan takut apabila terdapat ahli keluarga yang terlalu taksub dengan penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

Tambah Noor Aishah, itu belum mengambil kira kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang berbeza. Ini kerana ada antara mereka yang tinggal di rumah yang besar dan selesa dan ada juga tinggal di rumah yang kecil dan sempit dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

Artikel Berkaitan:

Semua perkara ini turut mempengaruhi emosi, sikap dan tingkah laku mereka, kata beliau.

Iktibar

Justeru, tidak hairanlah apabila tular di media sosial tentang kisah kanak-kanak lima tahun menangis di tadika gara-gara teringat ibunya. Kes tersebut turut mendapat perhatian Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam hal berkenaan, penulis enggan menuding jari kepada mana-mana pihak. Cuma jadikanlah kes itu sebagai iktibar bersama agar tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Bukan mudah mendidik anak yang masih mentah usianya. Namun, jika bukan kita sebagai ibu bapa, penjaga mahupun pendidiknya, siapa lagi yang akan melaksanakan tanggungjawab tersebut?

Sebenarnya, memang ada pelbagai cara untuk kita mendidik anak-anak. Namun begitu, harus diingat bahawa tiada satu pun formula ideal untuk membentuk anak-anak. Namun begitu, sudah tentulah contoh terbaik yang menjadi suri teladan buat kita adalah pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW.

Memetik komentar Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Azri Bhari yang pernah disiarkan dalam sisipan Sinar Islam Plus, beliau menjelaskan, pendidikan dalam konteks Islam begitu penting dalam membentuk sahsiah, peribadi dan personaliti manusia selari dengan ajaran Islam.

Beliau kemudian memetik nukilan kitab Tarbiyah al-Awlad oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan tentang kaedah dalam membimbing si kecil.

Antara lain adalah pendidikan melalui contoh; rutin dan kebiasaan; nasihat dan bimbingan; pengawasan dan pemerhatian serta denda dan hukuman.

Seperkara lagi yang perlu dititikberatkan adalah tahap didikan yang sesuai dengan usia anak tersebut. Ia sebagaimana yang diterapkan oleh Khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Thalib RA.

Memetik artikel Umma.id, si kecil yang berusia tujuh tahun ke bawah hendaklah dididik dengan penuh kasih sayang. Berbeza pula bagi anak yang berusia antara lapan hingga 14 tahun, ibu bapa sudah boleh memasukkan elemen ketegasan.

Ia supaya anak-anak tadi menjadi individu yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Hukuman ringan juga boleh dikenakan andai mereka melakukan kesilapan.

Apabila anak sudah menginjak usia 15 hingga 21 tahun, ibu bapa boleh mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka. Ia antara cara yang terbaik kerana dalam fasa remaja, mereka penuh dengan sikap memberontak.

Jelaslah begitu besarnya tanggungjawab mendidik seorang khalifah. Bukan ibu bapa sahaja, pendek kata, semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi memastikan generasi akan datang mampu menjadi khalifah di muka bumi ini.

* Nurulfatiha Muah ialah wartawan Sinar Islam Plus