KPM perlu letak unjuran betul jumlah bilangan guru

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak meletakkan satu unjuran yang betul bagi jumlah bilangan guru subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menyebabkan berlakunya kekurangan tenaga pengajar tersebut.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, sekiranya KPM membuat opsyen yang betul dengan membuka peluang bidang Ijazah Sarjana Muda di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi (IPT), maka isu kekurangan guru tersebut tidak berlaku.

“Jadi, saya sarankan untuk masa akan datang, KPM perlu ada satu unjuran opsyen. Maksudnya berapa bilangan guru yang diperlukan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Jika ia ditawarkan di peringkat IPG dan IPT, saya rasa kita dapat mengatasi isu kekurangan graduan pendidikan dalam ikhtisas Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pihaknya mendapati terdapat kekurangan bilangan graduan yang mempunyai Ikhtisas Pendidikan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam untuk pengambilan guru.

Bagaimanapun beliau berkata, KPM akan berusaha mencari bekalan guru yang mempunyai ikhtisas dua subjek kritikal berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee turut mencadangkan supaya guru interim Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam yang ketika ini masih berstatus kontrak diserap masuk sebagai jawatan tetap bagi mengatasi masalah kekurangan guru bagi subjek berkenaan.

“Mungkin KPM ada guru interim yang diambil sebelum ini. Jadi buat penyerapan sebagai guru tetap.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, KPM juga boleh mengambil graduan yang mempunyai kluster yang sama untuk mengajar, kemudian diberi latihan berkaitan ikhtisas berkenaan. Sebagai contoh, guru Bahasa Arab dia boleh mengajar Pendidikan Islam. Sama juga dengan keperluan guru Bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang pula berkata, terdapat faktor lain yang menyebabkan kurangnya guru Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam antaranya ada guru yang sudah pun tamat tempoh perkhidmatan dan pembukaan sekolah yang baru.

“Bagaimanapun saya yakin bahawa KPM sudah tentunya mempunyai perancangan baru bagaimana untuk mengatasi masalah kekurangan guru bagi subjek tersebut.

“Semalam (Selasa) KPM juga sudah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) dalam pengambilan guru secara ‘one-off’ bagi memastikan tiada lambakan graduan yang mengambil Ikhtisas Pendidikan.

“Mungkin perkara sama boleh dilakukan bagi mencukupkan guru yang layak untuk mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Dengan adanya kaedah kluster seperti ini kita boleh atasi isu tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, perlu juga lihat dari segi kemampuan kewangan.