Tunku Idris gesa rakyat bangkit selamatkan sungai

Saranan Tunku Idris mengenai tanggungjawab dan kerjasama rakyat terhadap kebersihan sungai, semalam. - Foto Ihsan Facebook Royal Press Office
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim mahu kesemua pihak dan masyarakat bekerjasama dalam mencari jalan menyelamatkan sungai dari terus dilanda pencemaran.

Mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Pasir Gudang baru-baru ini, putera Sultan Johor itu memaklumkan sudah tiba masanya orang ramai didedahkan dengan bahayanya pencemaran ekosistem tersebut.

“Bersempena dengan Hari Air Sedunia, saya ingin menarik perhatian orang ramai kepada kesan buruk akibat mencemarkan sungai kita.

"Tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membawa pengajaran untuk kita semua," katanya kepada Royal Press Office di sini.

Terdahulu, kejadian berlaku pada 7 Mac lalu, lebih 3,000 orang terpaksa mendapatkan rawatan akibat terhidu gas toksik akibat pembuangan sisa kimia ke dalam sungai itu.

Pencemaran itu turut menyebabkan kesemua 111 buah sekolah dalam daerah Pasir Gudang terpaksa ditutup sehingga kini.

Beliau yang juga Penaung Diraja Taman Negara Johor berkata, krisis di Pasir Gudang mengutarakan keperluan drastik untuk inisiatif baharu bagi mendidik orang awam memainkan peranan dalam melindungi sungai dan sumber air.

Tegas beliau, sudah tiba masanya untuk sektor awam dan swasta mengenal pasti kaedah baharu serta idea inovatif menghidupkan semula dan menyelamatkan sungai-sungai yang kotor.

"Mereka perlu menjadi proaktif, bukannya bertindak balas sahaja setiap kali berlaku sesuatu bencana.

"Saya menggesa semua pihak mempergiatkan usaha untuk membersihkan sungai, malah sekolah- sekolah juga perlu lebih aktif melibatkan pelajar dalam program 'Cintai Sungai Kita' agar golongan muda ditanam kesedaran akan kepentingan sumber air yang bersih," katanya.

Dalam masa sama, Tunku Idris berkata, tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan itu juga boleh mengundang kepada kemusnahan sungai termasuk spesis marin serta potensinya sebagai punca air bersih.

Beliau turut memaklumkan, sehingga kini terdapat kira-kira 16 sungai utama di negeri Johor pernah terjejas akibat pencemaran.

"Betapa sedihnya keadaan sungai di negeri kita.Degradasi sungai secara sistematik akibat pembuangan sampah domestik serta sisa perindustrian mesti dihentikan kerana ia adalah sumber kehidupan kita," tegasnya.