Himpunan aman solidariti dapat kebenaran polis

Mohamad Fuzi (dua, kanan) hadir menunaikan Solat Jumaat di Masjid Salehin, Pulapol, di ibu negara. - Foto Sinar Harian
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran perhimpunan aman solidariti yang bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian, tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik di Dataran Merdeka, esok, telah mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penganjur telah menyerahkan notis permohonan pada 8 Mac lalu.

"Notis telah diberi dan polis telah meluluskan kerana mereka mematuhi syarat-syarat penganjuran.

ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan aman solidariti kedamaian tolak kebencian, Sabtu ini: Mujahid

"Himpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka ini telah mendapat kebenaran bersyarat dan berada di bawah kuasa Ketua Polis Daerah Dang Wangi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Salehin Pusat Latihan Polis Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, himpunan ini dijangka bermula pada jam 7.30 pagi sehingga jam 11 pagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata peserta yang akan turun menyertai perhimpunan itu haruslah memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo parti politik.

Menggunakan simbol burung merpati putih berlatarbelakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada jam 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Mujahid berkata, seramai 5,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia akan menyertai perhimpunan aman itu yang turut akan menyaksikan pembabitan anggota persatuan pelbagai agama.

Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan itu, termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam.