Hospital Mawar mengaku bersalah beroperasi tanpa lesen

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Mawar Medical Centre dikenakan hukuman denda RM100,000 atau tiga bulan penjara (jika gagal membayar denda) atas pertuduhan beroperasi tanpa lesen, oleh Mahkamah Sesyen Seremban.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, S veerapan berkata, hukuman yang diterima oleh hospital Mawar perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuka pusat perubatan tanpa lesen.

“Saya berharap kes dan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang, dan perlu dijadikan iktibar kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Hemodialisis Hospital NSCMH, di Jalan Lobak.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali dan Pengarah Eksekutif Pusat Perubatan Hospital NSCMH, Datuk Dr K Sree Aman.

Tambah Veerapan, Hospital Mawar boleh mengemukakan permohonan untuk kembali beroperasi dengan syarat mereka perlu mengikut landasan undang-undang yang sepatutnya, kerana ia membabitkan nyawa serta keselamatan pesakit.

Katanya, sebarang permohonan perlu melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan boleh dipertimbangkan jika mereka mematuhi undang-undang.

“Saya dimaklumkan pihak pengurusan Hospital Mawar ada membuat permohonan untuk kembali beroperasi dan kita akan meneliti perkara tersebut dengan mendalam, kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa,” katanya.

Artikel Berkaitan: