Hormat orang susah, Idris ulas video tular pensyarah marah pelajar

Idris menyampaikan sumbangan kepada Shahrul Izam Shaharin, 53, dari Taman Lapangan Jaya susulan kediaman lelaki itu rosak akibat ribut, pada Rabu.
Idris menyampaikan sumbangan kepada Shahrul Izam Shaharin, 53, dari Taman Lapangan Jaya susulan kediaman lelaki itu rosak akibat ribut, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Golongan susah perlu dihormati, bukan dihina apatah lagi merendah-rendahkan martabat mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad sebagai mengulas video tular mengenai seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba.

Beliau berkata, sikap menghormati itu perlu ada dalam setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan pangkat sama ada pensyarah, ahli politik, rakan sejawat sehinggalah kejiranan.

"Sesiapapun kita, tak bolehlah untuk kita nak menghina ataupun menjatuhkan martabat orang lain.

"Islam ajar kita hormat, jika orang meminta (dalam kesusahan) itu, kalau kita tak mahu bagi, tak apa tetapi jangan tengking dan hina. Sikap seperti itu tidak dibenarkan dalam agama kita," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada 21 keluarga mangsa banjir dan ribut di Dewan Dato' Ahmad Said Sungai Rokam di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular yang mendapat perhatian umum mengenai seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman satu minit 45 saat itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta kakak pelajar itu menjual gelang emas bagi membeli komputer riba.

Idris berkata, dalam banyak perkara, Islam menitikberatkan umatnya menjaga kelakuan dan tingkah laku agar tidak tersasar.

"Mungkin hari ini kita senang, esok belum tentu kita senang. Sebab itu dalam Islam suruh menjaga sikap.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak menyentuh sesiapa, pesanan ini kepada semua termasuk diri saya sendiri bahawa dalam bentuk apa sekalipun jika ada orang datang meminta kepada kita atau orang itu dalam keadaan susah, janganlah kita hina," katanya.

Sebelum itu dalam majlis tersebut, setiap keluarga masing-masing dari Kampung Rapat Jaya, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Taman Lapangan Jaya dan Sungai Rokam menerima bantuan wang tunai RM500.