Tubuh jawatankuasa kaji kecacatan undang-undang

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah jawatankuasa tetap daripada pihak bertanggungjawab perlu ditubuhkan bagi mengkaji kecacatan-kecacatan yang terdapat dalam perundangan Islam di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, semua umat Islam perlu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama dalam matlamat memartabatkan agama Islam serta mengarusperdanakan syariah.

“Kalau boleh, kita ada jawatankuasa tetap sepenuhnya, bagaimana kita melihat enakmen-enakmen yang mana mungkin ada enakmen yang kita buat itu (kandungannya) kurang tepat.

“Saya rasa di sinilah perlunya ada satu jawatankuasa yang bersungguh bagi kita melihat di mana kecacatan-kecacatan dalam perundangan kita, sebagaimana pihak-pihak yang hendak menjatuhkan Islam ini, mereka kaji satu persatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Perundangan: Mengarusperdanakan Syariah pada Rabu.

Mengulas lanjut, tugas-tugas jawatankuasa tetap itu boleh dilihat sebagai satu jihad iaitu dalam usaha untuk mempertahankan kemuliaan agama umat Islam.

“Ini merupakan satu di mana Lembaga Zakat boleh menggunakan (peluang untuk membantu), kerana itu merupakan jihad.

“Kalau itu merupakan jihad dalam membela agama, maka Lembaga Zakat boleh memperuntukkan sebahagian daripada zakat itu untuk kepentingan umat Islam, insya-ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita tubuhkan, kalau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada jawatankuasa fatwanya, jawatankuasa (seperti) ini yang patut kita adakan,” ujarnya.