Rompin Integrated Pineapple raih Anugerah Perdana Agro HPPNK 2021

Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Perdana Agro dan Anugerah Agro Biz kepada Shahrul Nizam (tiga dari kiri) pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Nafas yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas pada Rabu. -Foto/Sinar Harian: ROSLI TALIB
Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Perdana Agro dan Anugerah Agro Biz kepada Shahrul Nizam (tiga dari kiri) pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Nafas yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas pada Rabu. -Foto/Sinar Harian: ROSLI TALIB
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Syarikat pengeluar nanas MD2 yang berpangkalan di Pahang, Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Agro dan Agro Biz, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2021 (HPPNK 2021).

Anugerah itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sempena Pelancaran Jubli Emas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), di Ibu Pejabat Nafas pada Rabu.

Kemenangan itu membolehkan syarikat itu membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM50,000 berserta sijil dan trofi.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shahrul Nizam Abd Aziz berkata, kemenangan itu adalah hasil usaha keras semua pihak serta sokongan daripada kerajaan khususnya MAFI, Nafas dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Shahrul Nizam bersama trofi Anugerah Perdana Agro dan Anugerah Agro Biz yang dimenangi pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Nafas yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas pada Rabu. -Foto/Sinar Harian: ROSLI TALIB
Shahrul Nizam bersama trofi Anugerah Perdana Agro dan Anugerah Agro Biz yang dimenangi pada majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun Nafas yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas pada Rabu. -Foto/Sinar Harian: ROSLI TALIB

Menurutnya, tanpa kerjasama dan sokongan semua, sudah pasti kejayaan ini tidak dapat diraih dan amat bersyukur kerana salah satu matlamat syarikat adalah untuk meneruskan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengambil pekerja-pekerja dalam kalangan Orang Asli di Kampung Tanam.

“Setakat ini kita mempunyai 80 keluarga Orang Asli yang bekerja di ladang nanas dan ladang pemprosesan kami. Setiap tahun, kami juga membayar dividen kepada semua peserta koperasi di kawasan tersebut.

“Syarikat kami beroperasi di Kampung Tanam sejak lebih lapan tahun lalu, bermula secara kecil-kecilan dengan penanaman nanas MD2 seluas 20 hektar dengan lima pekerja dan kini, kawasan tanaman menjangkau 647 hektar dengan kira-kira 180 pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Antara produk yang dihasilkan adalah buah nanas, jus nanas dan produk sampingan menggunakan nanas MD2 yang dipasarkan untuk pasaran tempatan serta dieksport ke luar negara seperti ke Jepun, Korea, China, negara Timur Tengah bermula empat tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim.

Pada majlis itu juga, Smaju Agro Venture diumumkan sebagai pemenang Anugerah Agroprenuer Muda, Anugerah Premier Persatuan Nelayan pula dimenangi Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara, Sarawak dan Anugerah Premier Pertubuhan Peladang dimenangi Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu, Pulau Pinang

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM 20,000.00 berserta sijil dan trofi.

Sementara itu, Ronald berkata, Anugerah HPPNK 2021 ini diadakan sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama makanan di negara kita ini.

Jelasnya, anugerah ini diharapkan dapat memberi motivasi dan dorongan kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan supaya lebih positif terhadap pemodenan serta transformasi sektor tanaman, penternakan, akuakultur dan pemprosesan.

“Sambutan HPPNK 2021 pada asalnya dijadualkan pada 21 hingga 23 Disember 2021 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur namun ditangguhkan berikutan bencana banjir yang melanda di sekitar Lembah Klang dan kebanyakan kawasan di seluruh negara.

“Keputusan ini sebagai pendekatan kementerian dalam usaha dan misi untuk memberi tumpuan kepada membantu golongan sasar yang terjejas dan terkesan dengan bencana banjir yang melanda. Namun begitu, sambutan HPPNK 2021 telah dijadualkan semula pada 4 hingga 14 Ogos 2022 bersama-sama sambutan MAHA 2022,” ujar beliau.