26 lagi jenazah selamat dikebumikan

Seorang kanak-kanak melihat jenazah mangsa serangan masjid Christchurch diusung ahli keluarga untuk dikebumikan. - Foto AFP (Gambar kecil: Mucaad)
Seorang kanak-kanak melihat jenazah mangsa serangan masjid Christchurch diusung ahli keluarga untuk dikebumikan. - Foto AFP (Gambar kecil: Mucaad)
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. 26 lagi jenazah mangsa serangan masjid Christchurh pada Jumaat lalu, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Memorial Park hari ini.

Antaranya termasuk jenazah mangsa termuda yang maut dalam serangan terbabit, Mucaad Ibrahim. Jenazah anak kecil berusia tiga tahun itu, diusung oleh 10 anggota keluarga berasal dari Somalia yang tiba bagi memberi penghormatan terakhir.

Disifatkan sebagai kanak-kanak ceria yang sentiasa tersenyum, Mucaad meninggal dunia dalam serangan terbabit apabila terpisah daripada ayahnya ketika berada di Masjid Al Noor yang menjadi sasaran pengganas.

"Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kepadaNYA kita kan kembali," kata Abdi Ibrahim susulan pemergian adik kesayangannya itu.

Secara keseluruhan, 26 mangsa serangan masjid Christchurch yang meragut 50 nyawa itu telah dikebumikan dalam masa lebih dua jam.

Sejumlah lima jenazah dikebumikan pada satu masa, dan hanya enam atau lapan anggota keluarga dibenarkan berada di kawasan kubur berikutan ruang yang terhad.

Antara jenazah yang dikebumikan termasuklah, warga India Arifbhai Vora, 58, yang dikebumikan di sisi anaknya, Ramiz Vora, mereka merupakan dua daripada mangsa yang maut dalam serangan di Masjid Linwood.

Ghulam Hussain dan Karam Bibi dari Pakistan, serta anak lelaki mereka, Zeshan Raza dikebumikan dekat antara satu sama lain. Pasangan berkenaan berada di Christchurch untuk kali pertama bagi tujuan melawat anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Naeem Rashid yang diangkat sebagai hero berikutan keberaniannya cuba berlawan dengan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant turut dikebumikan bersama anak lelakinya bernama Talha, 21 tahun.

Husna Ahmed, yang meninggal dunia ketika menyelamatkan suaminya yang lumpuh dalam serangan di Masjid Al Noor juga selamat dikebumikan hari ini.

Berikut senarai nama mereka yang dikebumikan hari ini: Kamel Mohd Kamal Kamel Darwish, Ghulam Hussain, Karam Bibi, Muhammad Zeshan Raza, Ashraf El-Moursy Ragheb, Mucaad Ibrahim, Husna Ahmed, Ramiz Arif Bhai Vora, Arif Mohamedali Vora, Amjad Hamid, Muse Awale, Muhammad Samad, Mohammad Ata Elayyan, Osama Adnan Abukwaik, Mounir Guirgis Soliman, Muhammad Suhail Shahid, Abdelfattah Qasem, Ali Mah'd Abdullah Elmadani, Abdukadir Elmi, Ahmed Gamal Eldin Mohamed Abdel Ghany, Talha Naeem, Naeem Rashid, Hussein Al-Umari, Mohammed Imran Khan, Mohamed Sheikh Abdi Elmi dan Haroon Mahmood.

Suasana perkabungan sebegini sesuatu yang jarang dilihat di New Zealand, di mana barisan kereta jenazah memenuhi laluan di seberang tanah perkuburan.

Sementara itu, hampir 5,000 orang awam yang turut serta bersedih di atas tragedi yang berlaku membanjiri kawasan terbabit. - NZ HERALD