Peratus keluar mengundi tersasar, Bersih cadang pinda akta

Mohd Asraf (kiri), Thomas (tengah) dan Naib Pengerusi Bersih 2.0, Beverly Joeman pada sidang media Laporan Pemerhatian PRN Johor secara dalam talian pada Rabu.
Mohd Asraf (kiri), Thomas (tengah) dan Naib Pengerusi Bersih 2.0, Beverly Joeman pada sidang media Laporan Pemerhatian PRN Johor secara dalam talian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan perlu segera meminda Seksyen 27 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memberi kuasa yang lebih besar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguatkuasakan undang-undang berikutan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tersasar teruk dengan 54.92 peratus.

Pegawai Program Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Mohd Asraf Sharafi berkata, walaupun secara keseluruhannya proses pengundian berjalan lancar dan teratur, namun mereka perlu mengambil berat dan memberi perhatian kepada penurunan peratusan tersebut.

Selain itu katanya, kerajaan persekutuan juga perlu segera menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih untuk menjamin integriti senarai daftar pemilih berikutan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik (PPSA).

“Jawatankuasa ini sangat mustahak untuk ditubuhkan bagi memastikan integriti daftar pemilih tidak diragukan terutamanya dengan PPSA dan Undi 18 yang menyaksikan pertambahan pengundi sebanyak 5.8 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21.1 juta pemilih.

“Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih ini perlu melibatkan semua pihak termasuklah pembangkang, pakar pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya pada sidang media Laporan Pemerhatian PRN Johor secara dalam talian pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann dan beberapa wakil Pemerhati Bersih PRN Johor.

Selain itu, Mohd Asraf berkata, kerajaan perlu memanjangkan tempoh pilihan raya kepada minimum 21 hari dengan meminda Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) supaya pengundi pos di luar negara sempat menghantar kertas undi ke Malaysia.

“Bagi Pengurusan Undi Pos, SPR hanya dapat mengeluarkan kertas undi pos pada hari ketiga selepas hari penamaan calon iaitu pada 1 Mac 2022.

Artikel Berkaitan:

"Hasil tinjauan kami mendapati kertas undi pos paling awal tiba ke tangan pengundi pos di Singapura pada 2 Mac 2022 dan ada pengundi pos yang berada di Perth, Australia hanya menerima kertas undinya pada 7 Mac, lima hari sebelum hari pengundian.

“Tempoh pengeluaran dan penghantaran kertas undi pos yang lambat menyebabkan pengundi pos meragui sama ada kertas undi mereka sempat untuk sampai ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata, pemerhati pilihan raya yang berdaftar di bawah SPR perlu dibenarkan untuk memantau semua peringkat perjalanan pilihan raya seperti penamaan calon, pembukaan undi pos dan undi awal.

Dalam masa sama katanya, akses liputan media perlu dilakukan lebih adil untuk semua parti dan calon terlibat dalam pilihan raya selain membuka pusat-pusat pengundian di kampung atau kawasan yang sukar dicapai agar pengundi tidak perlu bergantung kepada pihak lain untuk turun ke pusat pengundian.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat enam perkara yang perlu diberi perhatian sepanjang PRN Johor, bermula tempoh berkempen sehingga hari pengundian antaranya kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk kempen pilihan raya, membenarkan pesakit Covid-19 mengundi, memanjangkan tempoh pilihan raya untuk memberi kemudahan kepada pengundi pos di luar negara.

Tambah Mohd Asraf, semasa dalam tempoh pilihan raya, terdapat satu kes dalam senarai daftar pemilih di mana wujud nama yang meragukan seperti 'Deseased' dan 'Expired' yangperlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Katanya, antara isu lain yang masih timbul adalah petugas pilihan raya tidak cukup terlatih dan terdapat kekeliruan apabila garis sempadan had pengundian 50 meter yang tidak jelas di pusat-pusat pengundian.

“Sebagai contoh pusat pengundian di SK Sri Gading yang garis had 50 meter itu sangat jauh daripada pagar sekolah berbanding SMK Munshi Sulaiman yang bermula di pagar sekolah tersebut.

“Kami juga mendapati terdapat beberapa pusat pengundian yang masih kurang mesra terhadap pengundi OKU dan warga emas apabila semua saluran pengundian berada di tingkat atas,” jelasnya.