Sorok 2.06 tan dadah dalam peket teh Cina

Mohmad meninjau kenderaan yang dirampas dalam serbuan Selasa lalu.
Mohmad meninjau kenderaan yang dirampas dalam serbuan Selasa lalu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah dengan rampasan terbesar di negara ini dalam serbuan di Ulu Tiram, Johor, Selasa lalu.

Dadah seberat 2.06 tan bernilai RM103.2 juta yang disyaki syabu itu disembunyikan dalam 2,000 peket teh Cina dalam sebuah kontena di ladang kelapa sawit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Sri Mohmad Salleh berkata modus operandi yang menggunakan paket teh Cina sama pernah dikesan dalam kes-kes sebelum ini.

"JSJN telah lakukan serbuan sekitar Ulu Tiram pada 19 Mac lalu dan berjaya menangkap enam lelaki tempatan.

"Kalau tengok rekod rampasan lepas, inilah cara pembungkusan yang digunakan oleh sindiket, peket seperti ini sudah digunakan sekian lama, sejak metaphetamine digunakan di negara kita sejak 2012," katanya pada sidang media di IPD Seri Alam, hari ini.

Menurutnya, dadah dalam peket teh Cina itu dibungkus dalam guni.

"Ada 100 guni kita jumpa dan dalam setiap satu guni itu ada 100 peket teh Cina ini.

Artikel Berkaitan:

Mohmad menunjukkan paket teh Cina yang menjadi modus operandi sindiket dalam pengedaran dadah.
Mohmad menunjukkan paket teh Cina yang menjadi modus operandi sindiket dalam pengedaran dadah.

"Anggaran kita rampasan keseluruhan bungkusan teh ini boleh digunakan untuk 10.3 juta pengguna," katanya.

Menurutnya kejayaan menumpaskan sindiket termasuk 'mastermind' itu adalah hasil risikan bersama tiga agensi termasuk Agensi Maritim Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, sindiket itu telah beroperasi lama di negara ini namun berjaya dikesan kira-kira dua minggu lalu.

"Dadah ini daripada segitiga emas dadah iaitu di sempadan Thailand, Myanmar dan Laos yang dipercayai dibawa masuk ke negara kita melalui jalan laut, untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Sindiket ini telah bergerak sekian lama tapi kita berjaya kesan kegiatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini," katanya.

Difahamkan dadah tersebut berkemungkinan akan diedarkan ke Indonesia, Filipina, Australia dan New Zealand.

Turut dirampas tujuh buah kenderaan bernilai RM489,000, tiga utas jam tangan, wang tunai RM6,270 dan pelbagai barangan kemas.

Kesemua individu terbabit direman sehingga 27 Mac untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mari mandatori jika disabitkan kesalahan.