Kelantan pengeluar tembikai terbesar di Malaysia

Tuan Mohd Saripudin
Tuan Mohd Saripudin
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan menjadi pengeluar tembikai terbesar di Malaysia dengan sebanyak 41,614.7 tan metrik dihasilkan pada tahun lalu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara tersebut berpandukan kepada statistik pengeluaran hasil bagi tanaman buah-buahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

"Mengikut rekod, Kelantan juga menduduki tangga ketiga dalam pengeluaran buah durian selepas Pahang (96,692.2 tan metrik) dan Johor (117,365.5 tan metrik).

"Semua ini adalah hasil Gagasan Bertani Satu Ibadah yang diperkenalkan sejak 2009 oleh kerajaan negeri sudah mula menunjukkan kejayaan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) yang memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai produk pertanian berskala besar terbaik di bawah gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, pada Rabu.

Menurutnya, Kelantan turut menjadi pengeluar hasil tertinggi tanaman labu manis dengan jumlah 10,258.8 tan metrik diikuti oleh lada (cili) solok (7,170.6 tan metrik) yang merupakan identiti negeri ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan Kelantan menjadi pengeluar kedua tertinggi bagi tanaman tomato dengan jumlah hasil sebanyak 67,403.7 tan metrik.

Tuan Mohd Saripudin berkata, tanaman kubis bulat pula meletakkan Kelantan sebagai pengeluar ketiga tertinggi di Malaysia melalui pengeluaran 516.4 tan metrik.

"Semenjak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Kelantan telah membangunkan lebih 1,000 ekar tanah terbiar di seluruh Kelantan dengan pelbagai projek pertanian," katanya.

Artikel Berkaitan: