X

Kindly register in order to view this article
!

Siasatan Sungai Kim Kim perlu didedahkan: Suhakam

Razali
A
A
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap kementerian akan mendedahkan sepenuhnya keputusan penyiasatan pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, kepada semua pihak terlibat.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, insiden itu seharusnya menjadi peringatan kepada kerajaan bahawa pendedahan kepada pencemaran alam sekitar merupakan risiko yang serius.

Menurutnya, dalam negara membangun, kekurangan pelaburan kepada teknologi moden dan undang-undang alam sekitar akan menyumbang secara langsung kepada pencemaran yang lebih buruk.

“Justeru, Suhakam menyeru kerajaan untuk mengiktiraf kepentingan untuk bekerjasama dengan sektor perniagaan

‘Hak Asasi untuk Semua’ bagi mengukuhkan peraturan dan amalan berhubung industri kimia selaras dengan piawaian hak asasi manusia.

“Dalam perkara ini, Suhakam mengulangi seruan kami terhadap pelan tindakan kebangsaan hak asasi dan perniagaan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Razali menegaskan Suhakam terkejut apabila mengetahui sindiket yang menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim telah beroperasi sejak beberapa tahun tanpa disyaki pihak berkuasa.

Tegasnya, Suhakam berpendapat penguatkuasa undang-undang, badan pelaksana dan agensi alam sekitar, pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah negeri perlu bertanggungjawab dalam isu tersebut.

“Suhakam turut bimbang bahawa undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 gagal dikuatkuasakan untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

“Ia sekaligus memberikan gambaran bahawa masih terdapat jurang yang kritikal dalam penguatkuasaannya.

“Suhakam percaya bahawa mangsa-mangsa yang terjejas boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai cara tambahan untuk mendapatkan pampasan,” katanya.

Sementara itu, Suhakam turut mencadangkan kerajaan memberikan rawatan perubatan percuma kepada mangsa pencemaran sekiranya mereka mengalami kesan jangka panjang dari segi kesihatan.

“Kami juga menghargai usaha Kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalankan proses pemeriksaan berkala terhadap mangsa-mangsa yang terjejas akibat pembuangan sisa toksik tersebut,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!