Dua lagi didakwa hina Agong

Salah seorang individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, di laman sosial Facebook.

Sharil Mohd Sarif, 36, dan T.R Thurkai Devi, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Sharil yang merupakan seorang pekebun, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik, beserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan laman profil Facebook 'Sharil Chain'.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 11.30 pagi, 13 Mac lepas.

Thurkai Devi pula didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebook profile Thurkai Devi Tangga Raja dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca di laman profil Facebook 'Belenggu Fatamorgana' di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dang Wangi, di sini pada 11.17 pagi, 4 Jun 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan wang jaminan terhadap Sharil dan Thurkai Devi dengan alasan kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan serius kerana melakukan penghinaan terhadap pemimpin tertinggi negara.

Bagaimanapun peguam M. Dinesh yang mewakili Sharil dan Thurkai Devi secara pro bono (tanpa bayaran atau sukarela) memohon kedua-dua OKS diberikan jaminan dengan alasan mereka belum lagi didapati bersalah dan memberi kerjasama yang baik semasa siasatan pihak polis.

Mahkamah membenarkan kedua-dua OKS diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia