Kes sembuh Covid-19 lebih tinggi berbanding kes baharu

Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 24,154 kes, mengatasi kes baharu sebanyak 15,215 kes semalam. Foto hiasan
Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 24,154 kes, mengatasi kes baharu sebanyak 15,215 kes semalam. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 24,154 kes, mengatasi kes baharu sebanyak 15,215 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah tersebut menjadikan kes kumulatif sembuh yang direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,920,643 kes.

"Daripada kes baharu yang dicatatkan semalam, 906 kes dimasukkan ke hospital dengan 348 kes atau 38.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 558 kes atau 61.6 peratus adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata tiga negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Putrajaya dengan 67 peratus, Selangor (53 peratus) dan Kuala Lumpur (50 peratus).

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang mencatat penggunaan melebihi 50 peratus.

Beliau berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 176 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu adalah 21 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, dua kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah kluster yang aktif kini adalah 214.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.89 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.05 dan Sabah kekal mencatat kadar paling rendah dengan 0.66. - Bernama

Artikel Berkaitan: