RM7.27 juta untuk SRAR di Perak

Saarani ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.
Saarani ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memperuntukkan sejumlah RM7.27 juta untuk Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) pada tahun 2021.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu melibatkan bantuan per kapita bagi tujuan pengurusan sekolah sebanyak RM5.55 juta, bantuan naik taraf dan selenggara bangunan atau infrastruktur sebanyak RM1.64 juta serta bantuan internet guru bagi tujuan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebanyak RM76,700.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat berkenaan keperluan semasa sekolah-sekolah tersebut.

"Berdasarkan permohonan yang dikemukakan, keperluan sekolah diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan.

"Selain bantuan pembangunan infrastruktur sekolah, kerajaan negeri turut menganjurkan pelbagai kursus, bengkel dan latihan kepada guru dan pelajar bagi memastikan kemaslahatan pembangunan modal insan dapat ditingkatkan," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh) pada Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui JAIPk bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyediakan peruntukan bantuan pengurusan kewangan dan pembangunan Sekolah Agama Rakyat Negeri Perak termasuklah SRAR.

Jelasnya, setiap kali pembentangan bajet memang disediakan peruntukan tahunan untuk menyelenggara sekolah-sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk melibatkan pembelian kerusi dan sebagainya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Samsudin Abu Hasan mengenai usaha meningkatkan peranan Maahad Tahfiz di negeri ini, Saarani berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi kertas cadangan yang telah dikemukakan oleh Persatuan Mahaad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap).

Artikel Berkaitan: