RISDA bantu pekebun kecil bergelar usahawan

Muhammad Fahmi (kanan) dibantu pekerjanya ketika menyertai gerai pameran RISDA di HPPNK di Stadium Kulim.
Muhammad Fahmi (kanan) dibantu pekerjanya ketika menyertai gerai pameran RISDA di HPPNK di Stadium Kulim.
A
A
A

KULIM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan susulan harga komoditi getah yang tidak menentu.

Bagi melahirkan usahawan kalangan pekebun kecil, RISDA membangunkan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan itu.

Pelan tindakan ini dirangka bagi mencapai objektif agar pekebun kecil memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan seisi rumah pada tahun 2025.

Muhammad Fahmi Zakaria, 35, antara usahawan yang menyertai AET dan berjaya meraih pendapatan bulanan sekitar RM30,000 menerusi produk minuman kopi dengan jenama Kopi Jalan Patani.

"Saya dan dua rakan kongsi pada mulanya membuka kafe kedai kopi namun terpaksa menghentikan operasi pada 2019 akibat pandemik Covid-19. Ketika itu ada seramai 40 pekerja dan kami terpaksa cari jalan untuk bertahan, dan memutuskan untuk keluarkan produk baharu yang siap diminum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kopi Jalan Pattani membuka gerai di bawah booth pameran RISDA di Hari Peladang Dan Penternak Negeri Kedah bermula 27 - 31 Mac 2022.
Kopi Jalan Pattani membuka gerai di bawah booth pameran RISDA di Hari Peladang Dan Penternak Negeri Kedah bermula 27 - 31 Mac 2022.

Menurutnya, timbul idea ketika itu untuk menawarkan produk siap secara penghantaran dan dibotolkan untuk dikomersilkan secara besar-besaran.

"Selepas perkenalkan kopi ini dalam bekas plastik, kami segera ubah pendekatan dengan botolkan minuman itu agar lebih mudah dipasarkan ke seluruh negeri.

"Bermula dengan kopi, kami perkenalkan pula kopi mocha dan coklat belanda. Pada masa sama, tingkatkan kualiti dan lakukan kajian dan pembangunan (R&D) produk dengan bimbingan RISDA," katanya.

Menurutnya, produk yang dihasilkan menunjukkan daya tahan yang lebih lama selain lebih berkualiti.

"Kami mulakan produk ini hampir dua tahun lalu berbekalkan kos sendiri, sebelum menyertai program AET.

"Bantuan awal yang diterima adalah peralatan perniagaan bernilai RM20,000 iaitu tempat penyejuk dan peti sejuk beku," katanya.

Muhammad Fahmi berkata, mereka turut terpilih untuk menyertai RISDA Business Challenge (RBC) yang menawarkan skim bantuan bernilai RM50,000 berupa mesin pengeluaran menghasilkan kopi dalam botol selain bantuan dalam aspek pembungkusan bernilai RM10,000.

Pegawai RISDA meninjau proses pembuatan kopi botol yang diusahakan oleh Muhammad Fahmi (kiri) bersama dua rakan kongsi di Sungai Petani.
Pegawai RISDA meninjau proses pembuatan kopi botol yang diusahakan oleh Muhammad Fahmi (kiri) bersama dua rakan kongsi di Sungai Petani.

"Kami bersyukur inisiatif RISDA dapat meringankan kos operasi perniagaan terutama dalam era pandemik, setakat ini hampir RM30,000 bantuan yang telah diperolehi dalam bentuk peralatan. Semua bantuan ini tidak perlu dibayar semula," katanya.

Menurutnya, RISDA turut menawarkan program latihan dan bimbingan kepada usahawan meneroka perkara baharu seperti menyediakan pelan strategik, kertas kerja serta mengembangkan produktiviti syarikat.

"Nasihat saya kepada usahawan muda agar jangan malu bertanya, belajarlah ilmu perniagaan dengan merujuk kepada agensi kerajaan yang tawarkan pelbagai insentif merangkumi sektor makanan minuman, ternakan, perkhidmatan, kraftangan dan pelbagai lagi. Terdapat juga program baharu, Start Up untuk individu berminat ceburi perniagaan," katanya.

Kopi Jalan Patani boleh didapati di outlet terpilih sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor atau layari Facebook dan Instagram, Biggy Coffee Works untuk tempahan, anda juga boleh hadir ke gerai pameran RISDA di HPPNK sehingga Khamis ini.

"Kami sasarkan untuk tambah kotak penyejuk kopi daripada 10 buah kepada 50 buah sepanjang tahun ini.

"Sebelum ini pengeluaran produk sekitar 300 botol sehari, menjelang Julai ini dijangkakan dapat tingkatkan kepada 2,000 botol dengan adanya mesin pengeluaran automatik sepenuhnya," katanya.

Tegasnya, transformasi yang dilakukan diharap dapat memperbaiki kualiti produk selain membantu keluarga pekebun kecil dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.