Syria Care mula misi bantu pelarian Syria Khamis ini

Dua dari kiri: Siti Sakinah dan Amirul Rahman selepas menandatangani MoU untuk menjayakan Kempen Ramadan Al Khair 10.0 di Seksyen 13, di sini pada Isnin.
Dua dari kiri: Siti Sakinah dan Amirul Rahman selepas menandatangani MoU untuk menjayakan Kempen Ramadan Al Khair 10.0 di Seksyen 13, di sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Syria Care peruntukan dana sebanyak RM4.2 juta untuk membantu 735,000 orang pelarian Syria menerusi Kempen Ramadan Al Khair 10.0 pada tahun ini.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihak Colla Cattle Farm (KS) bersetuju untuk menyalurkan sebahagian hasil jualan produk keluaran pihaknya kepada tabung dana kempen tersebut.

Selain itu, orang ramai yang ingin menyumbang kepada kempen berkenaan boleh membeli set iftar bernilai RM15 atau set barangan kering berjumlah RM150 menerusi platform dalam talian Syria Care iaitu OderFood.

"Pelanggan bukan sahaja boleh memesan makanan untuk diri mereka sendiri, tapi ia juga untuk orang-orang yang ingin dibantu.

"Menerusi kempen ini, pelanggan boleh membeli sama ada pek makanan kering bernilai RM150 atau pek iftar berupa nasi arab untuk tiga orang yang siap dimasak di sana berjumlah RM15," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara Syria Care dengan Colla Cattle Farm di Seksyen 13, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Siti Sakinah berkata, walaupun pihaknya pernah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk kempen tersebut, ia merupakan kerjasama buat kali pertama dibuat dengan pihak Colla Cattle Farm.

Katanya, pihaknya akan berangkat ke Syria pada Khamis ini untuk membantu masyarakat pelarian di sana dengan membuat perbincangan berkenaan keperluan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk Ramadan kali ini, kami akan berangkat ke Syria pada Khamis ini.

"Kita akan buat ziarah, penilaian dan perbincangan dengan wakil di sana untuk mengetahui jenis bantuan yang mereka perlukan dan kita akan cuba untuk memenuhi keperluan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Colla Cattle Farm (KS) Sdn Bhd, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim teruja dengan kerjasama yang terjalin ini untuk membantu pelarian Syria.

Amirul Rahman berkata, pihaknya akan turut membantu menjayakan kempen tersebut, yang mana sebanyak RM15 daripada setiap produk keluarannya yang terjual akan disalurkan terus ke dalam tabung dana kempen tersebut.

"Pihak kami akan berusaha untuk bantu salurkan sedikit keuntungan jualan produk-produk kami kepada Syria Care.

"Sebahagian daripada keuntungan hasil jualan kami akan disalurkan kepada Syria Care untuk diagihkan kepada pelarian Syria yang terkesan dengan peperangan yang berlaku," katanya.