Satu persatu jasad rebah ketika diserang pengganas

Paparan Twitter BBC
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. "Lima puluh orang mati, mayat bertimpa antara satu sama lain... semua rebah, saya tidak tahu bagaimana hendak terangkan, bagaimana saya boleh keluar... saya pun tak tahu".

Demikian pengalaman pilu, ngeri, seorang warga Britain, Nathan Smith yang menetap di New Zealand sejak 13 tahun lalu.

Berkongsi kisah itu di Twitter BBC, Smith antara Muslim yang berada di masjid Al Noor.

"Saya dengar ba-ba-bang, bang, bang. Pada awalnya menyangkakan sistem bunyi di masjid tersebut mengalami kerosakan sebelum diberitahu ia adalah satu serangan.

"Pada saat itu, saya lihat satu demi satu jasad rebah terkena peluru. Rakan saya juga terkorban dalam serangan ini. Semua itu berlaku sekelip mata. Ia amat dahsyat," katanya kepada BBC.

Smith berkata, peristiwa berdarah itu menghantui memorinya.

Dia juga kelihatan begitu sebak ketika menceritakan kembali kejadian ngeri itu.

"Hanya kerana kita berpakaian berbeza, atau makan berbeza dengan kamu. Tidak bermakna kita ini berbeza, semua itu adalah sama, kita ketawa, kita gembira, kita sedih. Mereka terkorban itu adalah orang baik," katanya.

Penularan video berdurasi satu minit 54 saat itu berjaya menyentuh hati netizen.

Netizen, avl1899, "Mereka abang, kakak, kawan. Mereka semua saudara kami. Mereka telah tiada kerana kekejaman. Tenangla, kami mendoakan kamu semua...," katanya.

Bagi kindlyplease12, "Ia memang sangat menyakitkan... Muslim adalah jiran saya, mereka juga jiran yang baik," katanya.

Kisah penuh tragis itu meraih lebih 3,000 ciapan dan lebih 6,000 tanda suka dari netizen yang turut bersimpati serta memberi sokongan atas apa berlaku.

Serangan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang melepaskan tembakan rambang pada Jumaat lalu di masjid itu telah mengorbankan 50 nyawa.