Malaysia, Qatar setuju untuk saling iktiraf sijil vaksinasi: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke Qatar selama tiga hari di sebuah hotel, pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke Qatar selama tiga hari di sebuah hotel, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

DOHA - Malaysia dan Qatar secara rasmi bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 sesama kedua-dua negara dalam usaha pemulihan pasca pandemik virus itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mengintegrasikan aplikasi MySejahtera (Malaysia) dan Ehteraz (Qatar).

"Saya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengambil tindakan susulan berhubung dengan pengiktirafan sijil vaksinasi dan integrasi aplikasi MySejahtera dan Ehteraz Qatar,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar dengan media Malaysia di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Qatar pada Selasa.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani selepas majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan pagi Selasa.

Ismail Sabri berkata, beliau turut berterima kasih kepada Qatar yang telah memberikan kemudahan vaksinasi percuma kepada lebih 4,500 orang rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar, sebagaimana vaksinasi percuma yang diberikan kepada rakyat Qatar di Malaysia.

Katanya, mekanisme kerjasama dua hala ini pastinya memudahkan perjalanan pengembara antara kedua-dua negara.

"Bermula 1 April apabila pintu sempadan negara dibuka, Malaysia pastinya mengalu-alukan pelancong dari Qatar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau dan Amir Qatar telah turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu hubungan Malaysia dan Qatar yang telah terjalin selama 48 tahun sejak 1974.

"Dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kami bersetuju untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara Malaysia dan Qatar.

"Di kesempatan ini, saya telah mengundang Sheikh Tamim untuk mengadakan lawatan ke Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri tiba di Doha pada Sabtu. Ini merupakan lawatan julung kali Ismail Sabri ke Qatar selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lepas. - Bernama