Mujahid wakil rasmi kerajaan solat Jumaat di Christchurch

Orang ramai membanjiri Padang Hagley Selatan bagi menunaikan solat Jumaat. Foto: Rahasnan Abdul Rashid
Orang ramai membanjiri Padang Hagley Selatan bagi menunaikan solat Jumaat. Foto: Rahasnan Abdul Rashid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Solat Jumaat yang diadakan di Hagley Park South di Christchurch hari ini turut dihadiri wakil rasmi kerajaan Malaysia, selepas seminggu serangan pengganas di dua masjid di bandar raya New Zealand yang menyebabkan 50 orang terkorban dan berpuluh lagi cedera.

Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang berlepas ke Christchurch semalam.

Dalam laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata telah mengadakan pertemuan dengan wakil rasmi kerajaan New Zealand dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Nur Izzah Wong Mee Choo serta beberapa warga Malaysia yang tinggal di Christchurch.

Mujahid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan New Zealand atas keprihatinan mereka dan menghulurkan banyak bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Orang ramai membanjiri Padang Hagley Selatan bagi menunaikan solat Jumaat. Foto: Rahasnan Abdul Rashid
Orang ramai membanjiri Padang Hagley Selatan bagi menunaikan solat Jumaat. Foto: Rahasnan Abdul Rashid

Muhammad Haziq merupakan antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac yang dilakukan oleh seorang lelaki ‘white supremacist’ (percaya bahawa hanya golongan kulit putih paling mulia) di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch. Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu.

Mujahid, dalam temu bual dengan Astro Awani berkata orang ramai harus mengambil pengajaran daripada insiden itu.

“Hari ini ramai wanita New Zealand memakai tudung sebagai tanda solidariti dengan masyarakat Muslim dan keluarga mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengatakan azan juga dilaungkan di seluruh negara itu pada hari ini sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang terlibat.

Astro Awani melaporkan buat pertama kalinya laungan azan semasa solat Jumaat disiarkan secara langsung di New Zealand hari ini.

Pemerhati yang hadir semasa solat Jumaat di Hagley Park South itu turut memberi penghormatan dengan berdiam diri sepanjang azan dilaungkan Imam Lateef.-Bernama