'Saya sangka akan mati sebab sudah tua' - Tun M

Tangkap layar video siaran di Facebook rasmi Tun M pada Selasa
Tangkap layar video siaran di Facebook rasmi Tun M pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih atas jasa pengorbanan dan kebolehan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) serta pakar perubatan jemputan yang telah merawatnya ketika beliau menjalani rawatan pada Januari lalu.

Ujar beliau, atas iltizam dan kepakaran pakar-pakar perubatan tersebut, beliau berjaya pulih semula meskipun pada awalnya, beliau menyangkakan bahawa hayatnya sudah tidak lama.

“Bagi saya, itu adalah satu keajaiban (kerana) saya tidak menyangka untuk hidup. Saya jangka akan mati kerana saya sudah tua dan juga menghidap penyakit serius yang memberi kesan pada jantung saya.

“Apabila jantung saya lemah, ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia beri kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.

"Tetapi entah bagaimana doktor-doktor dapat memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi ia cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” katanya dalam video siaran di Facebook rasminya pada Selasa.

Pada 7 Januari, Ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari.

Bagaimanapun, beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang pada 5 Februari.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia sudah tidak perlu pergi luar negara semata-mata untuk mendapatkan rawatan kerana negara ini sudah mempunyai pakar perubatan yang boleh merawat penyakit serius sepertinya dan ia merupakan suatu pencapaian yang patut dibanggakan.

Artikel Berkaitan:

“Seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, pada ketika itu terdapat 'slot khas' untuk doktor Malaysia terutamanya doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan.

“Tidak ada orang Asia yang boleh menjadi pegawai perubatan. Semuanya perlu digelar sebagai pembantu pegawai perubatan. Ia kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.

"Saya percaya sepenuhnya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia boleh, kita boleh,” ujarnya.