Projek 30j: Dua lelaki direman 5 hari bantu siasatan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua lelaki termasuk seorang pegawai kanan sebuah badan berkanun direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan satu projek melibatkan badan berkanun berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Perintah reman terhadap suspek berusia 48 dan 52 tahun berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Saifullah Qamar Qamar Siddique Bhatti di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, kedua-dua lelaki termasuk pengarah syarikat perundingan berkenaan ditahan secara berasingan di ibu pejabat SPRM di sini pada 12.30 tengah hari semalam dan 11 malam tadi selepas mereka hadir memberi keterangan.

Sumber itu berkata siasatan awal mendapati pegawai kanan terbabit dan pengarah tersebut telah bersubahat bersama-sama tiga lagi individu yang telah direman Selasa lalu bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya perkhidmatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: