Kemelut sepak takraw negara bakal berakhir: KBS

Lian Ker - Foto Bernama
Lian Ker - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) percaya kemelut yang melanda sukan sepak takraw ketika ini bakal berakhir dalam masa terdekat selepas pihaknya melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sebarang tindakan susulan yang akan diambil oleh pihaknya bagi menyelesaikan kemelut itu adalah berdasarkan peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Kementerian mengambil berat mengenai pembangunan sukan sepak takraw khususnya penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa. Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah disingkirkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) sebagai ahli gabungan pada 20 Mei 2021 dan keahlian PSM di peringkat antarabangsa juga telah ditamatkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkuat kuasa serta-merta pada 21 Mac 2022.

“Dalam hal ini, PSM bukan lagi badan yang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Dengan penyingkiran PSM oleh ASTAF dan ISTAF, penyertaan pasukan negara di peringkat Asia dan dunia tersekat, menjejaskan kecemerlangan dan reputasi Malaysia sebagai kuasa sepak takraw dunia," katanya.

Jelasnya, kesan daripada penyingkiran itu, pembangunan sukan sepak takraw peringkat antarabangsa terjejas, malah turut menghalang pembangunan kepakaran teknikal jurulatih, pegawai teknikal dan pemain turut terkesan.

“Bagi memastikan kesinambungan sukan sepak takraw Malaysia di peringkat antarabangsa terus relevan, pihak Kementerian melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) bagi mewakili Malaysia dalam sukan sepak takraw dan telah mendapat pengiktirafan ASTAF berkuat kuasa pada 5 Mac 2022,” katanya ketika membuat penggulungan titah diraja pada Sidang Dewan Negara, pada Isnin.

ASTAF sebelum ini menyingkirkan PSM daripada gabungan badan induk sepak takraw Asia pada Mei 2021 berikutan tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF ketika itu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari 2021.

Malah bukan itu sahaja, PSM juga telah disingkirkan daripada ISTAF pada 21 Mac lalu selepas badan induk sepak takraw antarabangsa itu meneliti laporan dikemukakan ASTAF yang menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan pada 20 Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan: