Sebutan semula kes SRC Najib 3 April

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup bahawa Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes itu bagi menunggu rayuan Najib berhubung permohonan interlokutori di Mahkamah Persekutuan.

Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan berkata terdapat kemungkinan perbicaraan kes itu diisytiharkan terbatal berikutan terdapat isu-isu baharu di hadapan mahkamah dan menegaskan tiada taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan oleh Najib.

Panel itu telah menolak tiga daripada empat rayuan yang dikemukakan oleh Najib dan bekas Perdana Menteri itu kemudian menfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Tiga rayuan itu ialah permohonan Najib untuk mendapatkan perintah sekatan terhadap media dan orang ramai daripada membincangkan merit kes jenayahnya, akses kepada dokumen siasatan termasuk keterangan saksi di peringkat praperbicaran dan mengenai penarikan balik sijil pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh Peguam Negara. Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 33 hari bermula 12 Feb hingga 28 Feb dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan kes itu bagaimanapun ianya ditangguhkan sementara sehingga rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 4 Julai 2018, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama dari dana serupa.

Najib,66, yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir di mahkamah dengan bersut biru. -Bernama

Artikel Berkaitan: