Agihan Baucar Buku Semarak Membaca boleh ditebus mulai 1 April: Nancy

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agihan Baucar Buku Semarak Membaca 2022 bernilai RM10 setiap satu boleh ditebus bermula 1 April hingga 31 Ogos depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, program yang memberi manfaat kepada 190,000 penerima diperluas kepada 371 kedai buku tahun ini berbanding 168 kedai buku tahun lepas, susulan mendapat respon positif daripada masyarakat.

"Baucar akan diedarkan kepada 371 kedai buku terdiri daripada 170 kedai buku fizikal, satu kedai buku secara dalam talian E-Sentral Ebook Portal dan 200 kedai buku e-dagang menerusi aplikasi Shopee sebagai satu platform baharu untuk memperluaskan lagi program penebusan ini.

"Penerima baucar layak menebus atau menikmati potongan diskaun dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM20 dan ke atas dalam satu resit transaksi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Baucar Buku Semarak Membaca 2022 di sini pada Selasa.

Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya bersetuju meneruskan Program Baucar Buku Semarak Membaca melalui PNM tahun ini untuk melestarikan budaya membaca dalam kalangan rakyat selaras dengan gagasan menjadikan Malaysia negara membaca menjelang 2030.

"Untuk tujuan itu, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan kepada PNM di bawah Insentif Pemberian Baucar dan Diskaun bagi Produk Kesenian dan Kebudayaan pada 2022,” katanya.

Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca diadakan buat kali pertama pada 21 Okt hingga 30 Nov tahun lepas, dengan manfaat selain diskaun, penerima baucar buku juga didaftarkan sebagai ahli u-Pustaka secara automatik yang berpeluang mengakses bahan bacaan digital secara percuma pada bila-bila masa.

Senarai kedai buku terlibat bagi penebusan baucer boleh didapati di www.semarakmembaca.com. - Bernama

Artikel Berkaitan: