Tiada tawaran pemilik tamat tempoh pajakan

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor masih belum ada perancangan khusus untuk ditawarkan kepada pemilik tanah yang hampir tamat tempoh pajakan untuk menukar status kepada rizab Melayu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari menjelaskan, kerajaan negeri tiada perancangan khusus untuk menambah keluasan kawasan pegangan tanah rizab Melayu di negeri ini melalui tawaran insentif seumpama itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mengekalkan 406,042.199 ekar keluasan rizab Melayu sedia ada, merujuk data sehingga Disember 2018.

“Keluasan sedia ada masih dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi.

"Pemantauan ini dibuat melalui pemakaian pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 mengenai dasar dan garis panduan pembatalan dan penggantian tanah rizab,” katanya ketika menjawab soalan Mazwan Johar (Amanah-Sungai Ramal).

Beliau berkata, satu lagi pekeliling PTGS Bilangan 3/2015 mengenai garis panduan urusan pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu semasa pengambilan tanah bagi tujuan awam dan kemudahan bagi kegunaan kerajaan negeri serta persekutuan.

“Usaha ini mendapat pengiktirafan kerajaan melalui sijil penghargaan amalan terbaik pengumpulan data tanah rizab Melayu," katanya.

Amirudin (PKR-Sungai Tua) menjelaskan, penduduk Melayu yang mempunyai tanah di kawasan bukan rizab Melayu boleh mendapat insentif tanah rizab dengan syarat perlu memohon pertukaran status.

Artikel Berkaitan:

“Mereka perlu menukar status tanah kepada rizab pegangan Melayu dan proses ini perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri untuk diisytiharkan di bawah peruntukan Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu Bab 142.

“Berdasarkan pekeliling PTGS Bilangan 3/1994 mengenai kelulusan dasar, tatacara dan pemberian insentif bagi membangunkan tanah rizab termasuk pengurangan kadar premium, caruman parit dan kubur sebanyak 50 peratus," katanya.

Tambah beliau, premium tambahan dikenakan sebanyak 12.5 peratus daripada kadar asal ke atas kelulusan tanah.

"Belum ada lagi keputusan menyeluruh dan sesiapa yang berminat, boleh ikut tatacara yang dijelaskan tadi,” katanya.