40 permit pertanian, penternakan dalam HSK

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 40 permit bagi tujuan pertanian dan penternakan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 28 permit dikeluarkan di Cameron Highlands, tujuh di Raub manakala daerah Kuantan, Pekan dan Maran masing-masing tiga permit dan Jerantut sebanyak dua permit.

Wan Rosdy memberitahu, sebanyak 122 permit lagi bagi penggunaan lain tetapi pembukaan jalan hutan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 43.

"Selain itu, permit turut dikeluarkan bagi tujuan menara telekomunikasi, mini hidroelektrik, laluan talian penghantaran elektrik dan laluan kereta api," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Ketari) yang ingin mengetahui jumlah penggunaan bagi pertanian dan penternakan serta penggunaan lain dalam HSK di negeri ini.

Berhubung jumlah keluasan hutan perlindungan, beliau menjelaskan sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 645,751.04 hektar atau 40 peratus daripada jumlah keluasan HSK.

Katanya, jumlah luas hutan pengeluaran pula sebanyak 999,158.83 hektar atau 62.65 peratus.

Menjawab soalan Young Syefura mengenai jumlah lesen pembalakan dikeluarkan bagi daerah Bentong, Wan Rosdy berkata, sebanyak tiga lesen dikeluarkan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kelulusan itu dikeluarkan bersamaan 2.17 peratus daripada jumlah keseluruhan lesen dikeluarkan iaitu 138 lesen.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menegaskan bahawa kerajaan Pahang tidak berkrompromi dengan tindakan penerokaan tanah secara haram dan telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang selain dibantu agensi serta jabatan berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut.

"Pemantauan penguatkuasaan akan dilakukan secara berterusan dan kami mengalu-alukan aduan daripada mana-mana pihak agar tidak berlaku ketirisan atau kehilangan hasil.

"Penguatkuasaan yang dilakukan kami selama inilah yang berjaya meningkatkan kutipan hasil," katanya.