Kelantan usaha ambil alih tanah di sempadan

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima di Kota Bharu pada Selasa. Foto Media Sosial (Gambar kecil ) DATUK AHMAD YAKOB
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima di Kota Bharu pada Selasa. Foto Media Sosial (Gambar kecil ) DATUK AHMAD YAKOB
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kelantan dalam usaha mengambil alih tanah-tanah rezab di kawasan sepanjang sempadan Malaysia - Thailand di negeri ini dalam usaha mengekang jenayah penyeludupan tertutama dadah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, hal yang merumitkan kerajaan untuk mengambil tanah di sepanjang sempadan di Kelantan ini adalah apabila banyak bangunan dibina di atas rezab dan tanah-tanah di tepi sungai.

“Bangunan-bangunan yang dibina di atas tanah rezab itu menyebabkan kewujudan banyak lorong tikus yang memudahkan penjenayah yang menyeberang ke Kelantan dan dapat menyusut atau menyembunyikan diri.

“Perkara ini beberapa kali dinyatakan kepada Persekutuan supaya memberikan peruntukan untuk pengambilan tanah agar sempadan antara Malaysia dan Thailand ini dapat dibersihkan dengan sepenuhnya untuk menghalang penyeludupan,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima di Kota Darul Naim di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Syahbuddin Hashim ( Barisan Nasional - Galas).

Ahmad berkata, cadangan pengambilan tanah ini akan diketengahkan lagi kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya dapat dilaksanakan dan memindahkan penduduk di kawasan itu.

“Seterusnya adalah tindakan dilakukan untuk mengekang penyeludan dadah misalnya membina pagar atau benteng.

“Langkah ini adalah lebih baik untuk masa hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada persidangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM55,920 bagi tujuan pemulihan penagihan dadah di Bachok dan Kota Bharu.

“Kawasan itu adalah tinggi gejala penagihan dadah dan pelbagai program dilaksanakan dengan kerjasama semua agensi dalam usaha memulihkan penagih dadah.

“Program juga merangkumi pembersihan port penagihan, pengesanan penagih dan keluarga mereka yang akan dibantu menerusi pencegahan, rawatan dan pemulihan.