Bayaran pengeluaran khas KWSP 20 April ini

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat bayaran bagi pengeluaran khas secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak pada 20 April ini. - Gambar hiasan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat bayaran bagi pengeluaran khas secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak pada 20 April ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat bayaran bagi pengeluaran khas secara sekali pembayaran (single payment) kepada pencarum yang layak pada 20 April ini.

KWSP dalam laman Facebook pada Selasa turut menyenaraikan beberapa syarat kelayakan pengeluaran khas seperti yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

KWSP menetapkan syarat pengeluaran adalah bagi pencarum warganegara dan bukan warganegara serta pemastautin tetap berumur 55 tahun ke bawah dengan jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam akaun berkenaan.

"Amaun pengeluaran minimum RM50, maksimum RM10,000 tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2 dan jika tidak mencukupi, Akaun 1 akan digunakan dengan meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam akaun berkenaan.

"Bayaran pengeluaran khas tersebut diberi keutamaan berbanding pengeluaran lain dan pembatalan permohonan serta pindaan amaun tidak dibenarkan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu KSWP turut mengingatkan pencarum untuk mengemaskini nombor telefon yang didaftarkan serta memastikan nombor akaun bank simpanan atau semasa kekal aktif.

Bagi pencarum yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh memilih arahan bayaran sebagai kaedah bayaran dan hanya akaun di atas nama ahli sahaja dibenarkan untuk tujuan berkenaan.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu katanya, merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.