Lelaki buntu cari bapa kandung anak tiri

Serwan (kiri) mahu mencari bapa kandung kepada ketiga anak tirinya.
Serwan (kiri) mahu mencari bapa kandung kepada ketiga anak tirinya.
A
A
A

MELAKA - Seorang bapa buntu memikirkan nasib tiga anak tirinya yang tidak bersekolah kerana didakwa berdepan masalah dokumentasi.

Serwan Faisal, 47, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, sejak bercerai dengan isteri pertamanya Norsida Kinong, bukan warganegara, ketiga-tiga anak tiri berusia 13,15, dan 16 tahun mengikutnya berpindah ke Tangga Batu, Melaka.

Menurutnya, biarpun tiada pertalian darah namun dia dan isteri, Norsiah Bara,31, tekad membesarkan Nurliayana Jamal, Azwan Shah Jamal dan Arman Shah Abdullah seperti anak sendiri.

Serwan berharap dapat mencari bapa kandung kepada anak tirinya yang bernama Jamal Sabidin berketurunan Bajau dan merupakan seorang warganegara.

"Disebabkan masalah dokumentasi termasuk tiada dokumen perangkatan saya tidak dapat sekolahkan mereka.

"Saya harap mana-mana pihak yang mengenali Jamal Sabidin berusia 40 tahun bantu dan tampil agar anak-anak ini boleh memohon kewarganegaraan seterusnya mendapat MyKad," katanya yang menyewa di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling Melaka.

Mengulas lanjut, dia yang telah berkahwin lain dan mempunyai dua orang anak kandung berharap urusan berkenaan dipermudahkan.

Katanya, dia kasihan apabila anak-anak tirinya sering bertanya bila dapat ke sekolah seperti anak-anak lain.

Artikel Berkaitan:

Serwan dan Norsiah menunjukkan salinan surat beranak ketiga remaja itu.
Serwan dan Norsiah menunjukkan salinan surat beranak ketiga remaja itu.

Jelasnya, setakat ini tiga beradik itu hanya memiliki surat beranak yang tertera mereka dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

"Meskipun mereka anak tiri, namun saya tak pernah bezakan kasih sayang, mereka hanya bersekolah rendah sahaja," katanya yang bekerja sebagai tukang pendawaian.

Menurut Serwan, dia telah berjumpa bekas isterinya dan wanita itu sedia bekerjasama bagi membantu proses perangkatan.

"Cuma sekarang pihak berkenaan minta saya jejaki bapa kandung mereka.

"Walaupun hidup kami sederhana dan pernah juga alami kesusahan namun tiga anak ini tidak mahu berpisah serta mahu tinggal bersama saya dan isteri," katanya.

Ujarnya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu itu boleh menghubunginya di talian 0182471790.