Isa tarik balik permohonan dokumen kelulusan beli kondo

Isa Samad. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Isa Samad. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini menarik balik permohonan bagi mendapatkan dokumen berhubung minit mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat itu dan kelulusan pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa dibeli dengan harga melebihi pasaran.

Permohonan penzahiran dokumen itu adalah berhubung saman difailkan FGV Holdings terhadap Mohd Isa dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta membabitkan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Peguam Joshua Goh Shang Yi, yang mewakili Mohd Isa berkata anak guamnya menarik balik permohonan itu berikutan pihak FGV Holdings telah menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada Mohd Isa.

Goh berkata mahkamah membenarkan untuk Mohd Isa menarik balik permohonan itu dengan kebebasan kepada anak guamnya untuk memfailkan semula permohonan sama, sekiranya perlu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang perintah untuk kos," katanya selepas hadir pada prosiding kes itu di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli hari ini yang turut dihadiri peguam Arthur Ng, bertindak bagi pihak FGV Holdings.

Peguam itu berkata kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar pada 18 April ini.

Sebelum ini, Mohd Isa memohon mendapatkan dokumen syarikat FGV Holdings berikutan beliau tidak dapat mengakses kesemua dokumen berkenaan selepas meletak jawatannya sebagai pengerusi syarikat itu, dua tahun lepas.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 Nov tahun lepas, menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu berkata saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Oleh itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.

Syarikat itu juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. - Bernama