Bas Smart Selangor: Tak cadang tukar bas sekolah

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk menukarkan perkhidmatan bas Smart Selangor kepada bas sekolah untuk kegunaan pelajar sekolah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, jika penukaran kepada bas sekolah itu hendak dilaksanakan, ia memerlukan kajian teliti termasuk peruntukan kewangan.

"Pelaksanaan itu boleh memberi implikasi besar terhadap kewangan kerajaan negeri.

"Sedangkan peruntukan kerajaan negeri adalah terhad kepada keperluan projek pembangunan yang lebih penting dan perlu diutamakan," katanya ketika Sidang DUN di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Amanah-Meru) yang bertanya sama ada kerajaan negeri berhasrat untuk mengkaji atau menukar bas Smart Selangorku menjadi bas sekolah percuma untuk pelajar sekolah.

Sze Han berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan seperti persaingan dan kesan ekonomi ke atas industri pengangkutan bas sekolah khususnya pendapatan pengusaha-pengusaha berkaitan.

Katanya, bagi mencapai matlamat 60 peratus pengangkutan awam berbanding 40 peratus kenderaan persendirian, perkhidmatan bas Smart Selangor adalah lebih menepati sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian di laluan sosial berbanding tertumpu pada pelajar sekolah.

"Ini jelas, pelajar sekolah tak memberi kesan yang besar terhadap kesesakan lalu lintas, manakala inisiatif kerajaan negeri menyediakan bas Smart Selangor di laluan sosial adalah lebih tepat bagi mengurangkan jumlah penggunaan kenderaan di jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurutnya, terdapat perkhidmatan bas Smart Selangor yang boleh digunakan pelajar sekolah kerana turut melalui laluan-laluan ke sekolah, institusi pengajian tinggi awan dan swasta.

Katanya, terdapat juga subsidi tambang sekolah di bawah inisiatif peduli rakyat kepada anak-anak peladang atau bekas peladang yang bersekolah di sekolah Tamil bagi ringankan beban.