Wajibkan taska pasang CCTV

Sudah sampai masa kerajaan mewajibkan semua taska dilengkapi CCTV untuk memantau setiap aktiviti yang berlaku dalam institusi penjagaan harian kanak-kanak. - Gambar hiasan 123RF
Sudah sampai masa kerajaan mewajibkan semua taska dilengkapi CCTV untuk memantau setiap aktiviti yang berlaku dalam institusi penjagaan harian kanak-kanak. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

LANJUTAN kes kematian bayi berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri akibat kepala tersangkut pada kain buaian, 22 Februari lalu, kebanyakan ibu bapa sudah mula rasa ‘seram sejuk’ hendak menghantar anak-anak ke pusat jagaan kanak-kanak (taska) atau pengasuh.

Apatah lagi, bapa bayi berkenaan, Yuseri Yusoff mengambil berat kes yang menimpa Asyifaa setelah berasakan ada yang tidak kena dan mahu insiden itu disiasat dengan telus sehingga mereka terlibat diheret ke muka pengadilan.

Tindakan Yuseri menerima sokongan hebat warga Malaysia sehingga wujud kempen dengan tanda pagar #Justice4BabySyifaa dan menjadi trending di media sosial.

Kes bayi atau kanak-kanak meninggal dunia di taska dan ketika di bawah jagaan pengasuh bukan pertama kali berlaku di Malaysia.

Saban tahun pasti ada kejadian serupa dan kebanyakan ibu bapa terlibat terpaksa menerima kemalangan yang berlaku sebagai takdir.

Kemudian kes berlalu sepi, taska pun meneruskan khidmat seperti biasa dan semua pihak hanya diam sehinggalah kes sama berulang.

Apa kesudahannya jika asyik begini? Rasanya sudah sampai masa kerajaan mewajibkan semua taska dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau setiap aktiviti yang berlaku dalam institusi penjagaan harian kanak-kanak.

Ketika Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi, beliau pernah meneliti cadangan mewajibkan pemasangan CCTV di taska atau prasekolah seluruh negara bagi menangani kes penderaan.

Artikel Berkaitan:

Namun, cadangan itu seperti masih ‘diteliti’ sehingga hari ini, sedangkan kes demi kes kematian bayi tetap berlaku tanpa pembelaan sewajarnya.

Pada zaman serba canggih ini, sistem CCTV boleh sahaja dihubungkan dengan aplikasi telefon pintar untuk ibu bapa memantau sendiri keadaan anak dari tempat kerja.

Lokasi-lokasi wajib yang perlu ada CCTV, antaranya adalah bilik tidur, tempat bermain dan ruang makan di taska.

Bila dah tahu anak-anak baik-baik sahaja, barulah kurang rasa bimbang ibu bapa. Hendak bekerja pun bersemangat dan ada kualiti. Takkan kita nak tunggu satu lagi kematian berlaku, baru mahu bertindak.