Gejala merempit anak muda terus menular

Gejala merempit nampaknya terus menular dalam kalangan anak muda, yang bukan sahaja berlagak ala samseng jalanan, malah segelintir mereka turut terjebak dalam aktiviti tidak bermoral yang lain. - Foto hiasan
Gejala merempit nampaknya terus menular dalam kalangan anak muda, yang bukan sahaja berlagak ala samseng jalanan, malah segelintir mereka turut terjebak dalam aktiviti tidak bermoral yang lain. - Foto hiasan
A
A
A

GEJALA merempit nampaknya terus menular dalam kalangan anak muda, yang bukan sahaja berlagak ala samseng jalanan, malah segelintir mereka turut terjebak dalam aktiviti tidak bermoral yang lain.

Golongan utama terjebak dalam aktiviti samseng jalanan kebanyakannya terdiri daripada remaja berusia seawal belasan tahun yang masih bersekolah dan pemuda dalam lingkungan umur 20-an.

Mungkin pada awalnya mereka terjebak dengan perlumbaan haram kerana minat dunia permotoran tetapi lama-kelamaan kemahuan mereka untuk menambah ‘kuasa kuda’ jentera masing-masing menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mencuri.

Tidak semua yang merempit itu terjebak dalam aktiviti jenayah tetapi seperti yang dikatakan, mereka kebanyakannya golongan remaja dengan majoriti tidak mempunyai pendapatan tetap.

Satu lagi perkara yang tidak disukai oleh masyarakat tentang mat rempit adalah motosikal mereka menggunakan ekzos ‘perang’ yang terlalu bingit hingga boleh didengari dari jauh dan mengganggu ketenteraman awam.

Isu itu bukan perkara baharu, malah pelbagai usaha advokasi dan operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut turun padang untuk membantu.

Namun, usaha tersebut ternyata kurang berkesan kerana masih ramai pemilik motosikal menggunakan ekzos bising termasuk penunggang motosikal biasa yang tidak terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.

Alasan utama yang sering diberikan adalah supaya pemandu kereta sedar keberadaan penunggang motosikal ketika di jalan raya untuk mengelak kemalangan tetapi segelintir mereka memilih jenis ekzos terlalu kuat bunyinya, sedangkan ada jenis-jenis yang cukup kuat untuk didengar dan tidak terlalu kuat sehingga tidur satu kampung terganggu.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelumba haram pula, sebab utama mengubah suai ekzos adalah untuk menambah ‘kuasa kuda’ jentera masing-masing.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, mitos itu menjadi kepercayaan mat rempit hingga mendorong mereka berlumba-lumba melakukan kesalahan tersebut.

“Siasatan mendapati tindakan itu tidak mampu memberikan kelajuan kepada motosikal, sebaliknya ia sekadar untuk memberi persaingan bunyi kepada lawan.

“Ramai ingat bila ubah suai ekzos motosikal, kelajuannya akan meningkat. Itu tidak benar sama sekali. Kapasiti cc motosikal dengan kelajuan adalah seiring dan tiada kena mengena dengan ekzos,” jelas beliau.

Tidak adil mengatakan penguatkuasaan undang-undang daripada pihak berkuasa tidak mencukupi kerana hampir setiap hari sekatan jalan raya (SJR) diadakan. JSPT Kuala Lumpur contohnya, hampir setiap hari mengadakan SJR di jalan-jalan utama di ibu negara, bukan hanya untuk menangani gejala mat rempit tetapi juga membendung isu pemandu mabuk, memandu tanpa lesen dan lain-lain kesalahan jalan raya.

Mungkin satu undang-undang baharu yang komprehensif dan khusus perlu dibentangkan serta dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi menangani gejala mat rempit dan ekzos bising.

Masalah ekzos bising misalnya, PDRM berkuasa untuk menahan penunggang motosikal terbabit tetapi penjual yang menjual tidak dikenakan sebarang tindakan susulan tiada peruntukan undang-undang yang jelas.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, beliau turut meminta Ketua Pengarah JPJ melihat kembali kesan masalah ekzos bising kepada masyarakat kerana bunyi ekzos yang mengganggu ketenteraman awam. Beliau menyarankan semua agensi kerajaan berkaitan sama-sama melihat semula kaedah terbaik bagi menangani kesalahan mengubah suai ekzos.

“Masyarakat menyalahkan Kementerian Pengangkutan berhubung penjualan ekzos yang diubah suai di pasaran, namun perkara ini di luar bidang kuasa kementerian,” jelasnya.

Sebagai seorang pencinta dunia permotoran, penulis faham keinginan dan nafsu seorang rider tetapi dalam kita mengejar kelajuan, berhentilah sejenak. Lihat sekeliling dan pastikan tidak-tanduk kita tidak menyusahkan orang lain.

* Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ialah wartawan Sinar Harian