Serangan Christchurch: Bertafakur sebelum azan Jumaat

A
A

Serangan Christchurch: Bertafakur sebelum azan Jumaat

Seluruh rakyat New Zealand memberi penghormatan terakhir buat mangsa-mangsa tembakan di dua masjid pada Jumaat lalu, hari ini.

Sesi bertafakur selama dua minit diikuti azan solat Jumaat yang berkumandang pada pukul 1.30 petang waktu tempatan itu sebagai tanda menghormati 50 mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut yang diadakan di Taman Hagley, Christchurch.

Difahamkan, seluruh stesen televisyen dan radio percuma turut membuat siaran langsung bagi menghormati mangsa yang terkorban.

Solat Jumaat yang berlangsung di Taman Hagley berikutan dua masjid yang diserang pada Jumaat lalu masih ditutup berikutan polis masih belum selesai siasatan di dua lokasi berkenaan.

Pengurusan masjid UM lapor polis program 'Bossku'

Pihak pengurusan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya membuat laporan polis berhubung penganjuran program melibatkan bekas Perdana Menteri, , Datuk Seri Najib Tun Razak di masjid itu yang direncanakan hari ini.

Dalam laporan polis seperti dilaporkan Malaysiakini, berkata pihak pengurusan masjid tidak dimaklumkan lebih awal berhubung program berkenaan.

Menurut laporan itu, tujuan polis dibuat adalah sebagai perlindungan bimbang perkara yang tidak diingini berlaku kerana program tersebut tidak dimaklumkan terlebih awal kepada pihak masjid.

Dalam perkembangan sama, Ketua Amanah Lembah Pantai Mohd Hishamuddin A Hamid menyifatkan program itu sebagai memperalat masjid.

4 masjid di England diserang dengan tukul besar

Empat masjid di bandar Birmingham, England diserang malam tadi, oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul besar yang dilihat memecahkan tingkap di 2 rumah ibadat, kata polis hari ini.

Anggota polis anti-pengganas sedang menyiasat serangan terhadap masjid di 4 kawasan berbeza di utara bandar itu, kata Polis Midlands Barat dalam kenyataan hari ini.

Polis berkata siasatan menganggap kejadian-kejadian itu berkaitan.

Ketua Konstabel Dave Thompson dalam kenyataan berkata polis dan unit anti-pengganas berusaha mencari orang yang bertanggungjawab.

MAHB jawab Vincent, kemalangan di lapangan terbang Subang masih disiasat

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata apa-apa kesimpulan mengenai kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) sekarang ini adalah “terlalu awal”.

Menjawab kenyataan ahli perniagaan, Vincent Tan kepada media mengenai kemalangan yang berlaku pada Isnin, MAHB menegaskan siasatan sedang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan polis.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya semalam menyalahkan pihak berkuasa lapangan terbang selepas seorang kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, cedera parah kerana terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian.

Vincent mengesahkan pesawat Berjaya Air terlibat dalam kemalangan itu, tetapi berkata juruterbangnya mendapat kebenaran daripada menara kawalan sebelum mendarat.

Liga Bola Sepak Malaysia saman Telekom Malaysia

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk Liga Malaysia 2019.

MFL dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan tindakan undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Jumlah dituntut terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan kepada peguam cara TM pada hari ini.

Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.