Lima individu diberkas bantu siasatan kes samun kedai emas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima individu diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian samun melibatkan sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman Chow Kit di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang suspek yang ditahan di sebuah hotel di Taman Aor Jaya, Taiping Perak pada Isnin.

"Operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berjaya memberkas suspek kira-kira jam 4.30 pagi.

"Suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berumur lingkungan 40-an," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, sebanyak 12 utas gelang kaki kanak-kanak dan sebuah motosikal telah dirampas.

"Polis kini sedang mengesan barang kemas lain dalam kes samun ini," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan pertama, empat lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan kes ini.

"Empat individu berkenaan merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 29 hingga 49 tahun telah ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, kesemua tangkapan ini akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.