Apabila agama dimalukan

Agama tidak memerintah hamba-hambanya untuk menghalalkan tindakan menyeleweng yang dilakukan. -foto internet
Agama tidak memerintah hamba-hambanya untuk menghalalkan tindakan menyeleweng yang dilakukan. -foto internet
A
A
A

MANUSIA berpegang kepada kepercayaan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pegangan ini juga menentukan arah dan hala tuju kepada matlamat. Dalam mencapai matlamat, manusia semurninya akan berusaha dan jika berjaya akan dilalui dengan jalan yang lurus. Jika jalan yang lurus berhalangan maka akan dicarinya alternatif.

Begitu juga dalam konteks kehidupan dan serba perkara yang kita jalani setiap hari. Misalnya, seorang anak murid yang ingin menyiapkan kerja sekolah matlamatnya adalah siapkan kerja dalam rangka tarikh matinya supaya kerjanya betul. Tetapi, jika tidak siap, maka jalan akhir adalah meniru demi tidak dihukum oleh guru. Soal meniru tidak lagi dijadikan ukuran nilai murni. Meniru seolah tiket halal untuk mencapai matlamat anak murid tersebut. Soal nilai murni dan etika dalam mencari matlamat sudah disampahkan.

Anak murid tadi, tidak lagi menoleh walau sejenak apakah caranya benar atau tidak dalam mengejar matlamat menyiapkan kerja sekolah. Natijahnya adalah mencapai matlamat. Andai, anak murid tersebut seorang Islam, maka panjang syarahnya sang guru. Nilai Islam dan sepupu sepapat sealiran dengan Islam terus dikaitkan. Habis nama Islam ayah dan ibunya dikaitkan hingga akhirnya dia dihukum bersama-sama dengan agamanya. Atau lebih berat, dia tidak lagi dipercayai, dia akan asyik meniru, menipu untuk mencapai matlamat kerja sekolahnya. Agamanya dimalukan!

Insiden tembakan di Christchurch, New Zealand oleh Brenton Tarrant baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan, malah sukar diterima akal kewarasan manusia. Kejadian tersebut disambut dengan pelbagai reaksi dan ramai yang melontarkan simpati dengan mangsa dan mengutuk tindakan keganasan tersebut. Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dunia, malah di segenap kelompok lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan agama dan kepercayaan menolak tindakan ganas tersebut.

Apa yang mengejutkan, rakaman secara langsung seperti yang dapat ditonton di segenap ceruk aplikasi maya menceritakan bagaimana anutan dan fahaman yang terlalu taasub dan kebencian yang melampau sebagai natijah tindakan yang tiada batas kemanusiaan. Apa yang paling menyedihkan, akhirnya agama dan anutan yang menjadi mangsa. Agama akhirnya dipersalahkan. Agama dan kepercayaan yang dianuti dimangsakan. Agama dimalukan!

Begitulah juga apabila ada yang berserban menipu. Bersongkok berjudi. Berkopiah berzina. Dan lebih malang jika berstatus tok guru berserban, ustaz, haji, hajah dan yang bergelaran serta bersinonim dengan agama sentiasa menghalalkan cara dan kaedah untuk mencapai matlamat mereka. Agama tidak mengajar umatnya menipu. Agama juga tidak memerintah hamba-hambanya untuk menghalalkan tindakan menyeleweng yang dilakukan.

Namun agak pelik apabila ada yang berstatus tok guru atau mahaguru dalam pimpinan politik di negara ini yang sanggup menipu pada siang hari untuk menegakkan ‘benang basahnya’. Dan juga sekali lagi agama dimalukan! Dalam petikan berita, “Tetapi sangat malang kalau dilantik kerana pandai menipu dan bohong, walaupun ada ijazah tarafnya laksana penjual ubat yang melariskan ubat kerana pandai berbohong, bijak berauta dan putar alam...” (memetik daripada Projek MM bertarikh 14/2/2019).

Dalam petikan berita di atas, pemimpin berserban parti Islam ini dengan penuh tegas menyelar dan menyindir akan sifat menipu dalam isu ijazah palsu tidak beberapa lama dahulu. Dan tidak beberapa lama berselang beberapa hari beliau mengatakan; “Maknanya kalau nak kata bohong pun bohonglah, tapi ia bab kerahsiaan. Dia menjaga rahsia wujudnya baiah itu walaupun dah bocor sampai ke mati...” (malaysiakini.com 16/2/19).

Artikel Berkaitan:

Kita tidak perlu untuk menilai sebab musabab perbuatan berbohong itu tetapi natijahnya kepada orang-orang awam yang membaca berita seperti di atas. Namun, apa agaknya pandangan Pak Abu, Ramasamy dan Ah Chong terhadap agama Islam? Bukan bab rahsia parti tetapi apabila serban, jubah dan ketokohan tok guru yang disinonimkan dengan agama Islam itu sendiri yang mereka yakini selama ini seolah sedang diterjemahkan bahawa agama suci ini membenarkan ‘tipu’, ‘bohong’, ‘auta’ dan seumpamanya.

Agaknya kebebalan dan kedangkalan apakah yang melanda antara si murid, Brenton dan tok guru ini? Dan paling malang, agama diperjudikan. Agama diperlekehkan. Agama dimalukan. Dan kini, darjat dan maruah serta kemartabatan agama berada di tahap paling hina.

* Penulis bekas wartawan dan kini pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor