Peniaga warga asing cuba loloskan diri

Antara PATI ditahan imigresen.
Antara PATI ditahan imigresen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga warga asing di Jalan Silang dan Jalan Tun Tan Siew Chin, di sini dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu.

Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari semalam, dijalankan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Ketika serbuan, terdapat kalangan warga asing ini cuba meloloskan diri, malah ada yang berpura-pura menjadi pelanggan, namun tindakan itu hanya sia-sia.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, seramai 92 orang diperiksa sepanjang operasi ini.

Antara PATI ditahan imigresen.
Antara PATI ditahan imigresen.

"Hasil pemeriksaan menahan seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan serta permit kerja.

"Semakan mendapati PATI ini terdiri daripada warganegara Bangladesh 20 orang, India (5), Myanmar (3), Nepal (2) dan Indonesia (2)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, PATI yang ditahan ini merupakan pekerja premis menjual telefon bimbit dan barang-barang am.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Low Swee Hon berkata, pihaknya telah memeriksa 26 premis sekitar kawasan terbabit.

KPDMHEP WPKL merampas jam tangan pelbagai jenama yang disyaki tiruan.
KPDMHEP WPKL merampas jam tangan pelbagai jenama yang disyaki tiruan.

Menurutnya, sebanyak 25 kes dicatatkan di mana 18 kes melanggar Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993 dengan nilai Kompaun sebanyak RM3,400, dua kes bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai Kompaun RM400.

"Selain itu, lima kes lagi membabitkan serbuan di lima gerai dan Rampasan Tanpa Tuan (RTT) yang disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Sebanyak 185 unit jam tangan pelbagai jenama iaitu Casio, G-Shock, Edifice, Chanel, LV, Gucci, DW, Puma dan Adidas disyaki tiruan dianggar bernilai RM4,410 dirampas," katanya.

Operasi ini turut melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).