Keputusan sampel ternakan ikan diketahui minggu depan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan ujian makmal terhadap sampel ternakan ikan yang diambil daripada penternak di sekitar Pasir Gudang berhubung insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dijangka diperoleh beberapa hari lagi.

Pengarah Perikanan Negeri Johor Zamani Omar berkata kesemua sampel ternakan termasuk ikan, kupang dan ketam itu telah dihantar Jawatankuasa Bertindak Khas yang menjalankan siasatan mengenai kejadian berkenaan ke sebuah makmal swasta beberapa hari lepas.

“Tindakan ini adalah untuk kajian jangka masa panjang supaya tidak memberi risiko kepada orang ramai. Ujian makmal ini akan mengambil masa beberapa hari bergantung kepada analisis makmal berkenaan.

“Selepas laporan keluar dan menyatakan bahawa ikan dan hidupan akuatik tidak terkena sisa kimia, maka, kita (Pejabat Perikanan Negeri Johor) akan hantar laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan kesemua hidupan laut di sekitar Pasir Gudang selamat dimakan,” katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zamani berkata aduan paling ketara diterima pihaknya daripada nelayan susulan pencemaran tersebut adalah mereka sukar memasarkan hasil tangkapan sekali gus merosot pendapatan disebabkan orang ramai takut membeli hasil laut.

“Saya ada berjumpa dengan para nelayan dan mereka meminta untuk mengambil tindakan sewajarnya. Sehubungan itu, tindakan yang kita ambil adalah dengan menghantar sampel ikan ke makmal untuk dipastikan ia selamat,” katanya.

Selain sampel ternakan, Zamani berkata Jawatankuasa Bertindak Khas juga sudah mengambil sampel air laut di sekitar Pasir Gudang dan keputusan mendapati air laut tersebut bebas pencemaran.

“Mutu kualiti sampel air yang diambil tiga hari lepas menunjukkan keputusan positif dan jika mengikut keputusan yang diperolehi, kehidupan akuatik boleh hidup,” tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lepas (16 Mac) komuniti nelayan sekitar Pasir Gudang menyatakan rasa bimbang berkenaan jualan hidupan laut mereka terjejas kerana ramai tidak mahu membeli ikan-ikan mereka di kawasan Pasir Gudang kerana takut ikan-ikan tercemar ekoran pencemaran di Sungai Kim Kim. - Bernama