Sila log masuk terlebih dahulu.

Sindiket edar dadah di Pahang tumpas

Ramli (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis lalu.
Ramli (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis lalu.
A
A
A

KUANTAN - Sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu yang aktif di kawasan Felda tumpas apabila empat individu termasuk dua beradik ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini, pada Khamis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, empat lelaki berusia antara 32 hingga 42 tahun itu merupakan warga tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan pada jam 5 petang hingga 11.30 malam.

Menurutnya, suspek pertama berumur 32 tahun ditahan ketika berada di sebuah rumah di Lorong Sri Mahkota Maju di sini, dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 230.50 gram bersama alat penimbang digital di dalam rumah terbabit

"Berpandukan maklumat suspek, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki merupakan 'master mind' sindiket di lokasi sama.

"Suspek suspek ketiga pula ditahan di dalam sebuah kenderaan di parkir kereta Plaza Tol Gambang dari arah Kuantan dan kita menjumpai lima plastik mengandungi dadah heroin (2274.25 gram) dan syabu (1038.65 gram).

"Seterusnya, suspek keempat yang disyaki berperanan sebagai 'runner' pula ditahan ketika berada di tepi jalan di hadapan perhentian bas simpang Lepar Hilir, Gambang," katanya.

Ramli (depan) menunjukkan kenderaan yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis lalu.
Ramli (depan) menunjukkan kenderaan yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar kejayaan Polis Pahang dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, susulan itu sebanyak 3.5 kilogram dadah terdiri daripada 2,274 gram heroin dan 1,269.15 gram syabu dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah RM76,764.

Selain itu katanya, wang tunai RM91,250, barangan kemas bernilai RM12,074 dan tiga kereta serta lapan motosikal pelbagai jenama bernilai RM440,100 turut dirampas.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM636,092," katanya.

Tambah Ramli lagi, sindiket berkenaan dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar daerah ini.

"Dengan tangkapan ini, kita percaya telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda yang didalangi warga tempatan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.