Turki teroka kerjasama dengan Malaysia dalam industri pertahanan

Ismail Demir - Foto Bernama
Ismail Demir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Turki bersedia meneroka bidang kerjasama baharu dengan Malaysia dalam industri pertahanan melalui penyertaannya dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Presiden bagi Industri Pertahanan Turki (SSB) Profesor Ismail Demir berkata, ia termasuk platform udara generasi baharu, sistem kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), platform tentera laut dan keselamatan siber.

Demir menegaskan kedua-dua negara telah menjalin kerjasama dalam sistem darat, melalui usaha sama antara syarikat Turki FNSS dan DefTech Malaysia, yang menghasilkan Kenderaan Tempur Berperisai 8X8.

"Syarikat pertahanan Turki telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk tempur mereka. Mereka terbuka bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjalin hubungan jangka masa panjang, berdasarkan strategi menang-menang, termasuk pertukaran teknologi, pengeluaran dan pemasaran bersama.

"Kami menawarkan model kerjasama terbuka, mesra dan muhibah yang kebanyakan negara tidak tawarkan. Kami bersedia berkongsi pengalaman dengan rakan sejawatan di Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Turki sekali lagi menjadikan kehadirannya dirasai dengan mendominasi ruang terbesar di pameran DSA dan NATSEC Asia 2022, yang berlangsung dari Isnin hingga 30 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Tinjauan Bernama mendapati pavilion Turki memenuhi hampir separuh daripada ruang pameran yang disediakan, selain pavilion Malaysia dan 18 yang lain termasuk dari Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

Sebanyak 32 syarikat Turki mengambil bahagian dalam DSA bersama SSB tahun ini, katanya

Artikel Berkaitan:

Antara syarikat yang terlibat adalah ASELSAN, HAVELSAN, MKE, STM, TUSAS, ROKETSAN, OTOKAR dan Nurol Makine.

Mereka akan mempamerkan teknologi seperti sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, sistem peluru berpandu dan platform kenderaan berperisai.

Demir menambah, syarikat-syarikat Turki komited menjadi sebahagian daripada acara ini untuk mewujudkan perkongsian strategik dengan rakan sejawatan mereka.

"Pameran DSA ialah antara acara industri pertahanan yang paling menarik di dunia. Ia adalah pertunjukan Pertahanan dan Keselamatan Kebangsaan yang terbesar dan paling cekap dianjurkan di Asia.

"Turkish National Pavilion sentiasa terlibat di pameran DSA, dan ia menjadi petunjuk konkrit betapa kami memberi komitmen terhadap pameran dan negara tuan rumah Malaysia," tambahnya.

Turki telah mengambil bahagian dalam 13 edisi DSA sejak 1996. - Bernama