Langkah pelepasan Covid-19 bantu PLC tingkat mandat, harungi pandemik

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan langkah pelepasan Covid-19 telah membantu syarikat awam tersenarai (PLC) dalam usaha mengharungi pandemik.

Ini termasuk langkah PLC meningkatkan had mandat am bagi terbitan sekuriti baharu daripada 10 peratus kepada tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah saham terbitan, demikian menurut SC dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan pada Isnin.

Pada Disember 2021, tarikh akhir pelepasan berkenaan telah dilanjutkan kepada 31 Disember 2022 bagi PLC yang terbukti masih belum mengumpulkan sebarang dana menggunakan mandat 20 peratus pada 2020 atau 2021.

Malah, pada tahun lepas, SC telah bertindak menjalankan Penilaian Dasar ke atas pelepasan pengumpulan dana itu dengan meneliti Mandat Am Penempatan Tertutup (GMPP) yang diumumkan pada 2020 selaras dengan Rangka Kerja Dasar Pengawalseliaan Berasaskan Bukti SC.

"Pada 2020, 126 PLC telah mengumumkan sebanyak 133 GMPP dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM5 bilion,” kata SC.

Menurutnya, PLC Pasaran Utama telah mengumumkan sejumlah 78 GMPP (masing-masing 27 untuk 20 peratus GMPP dan 51 bagi 10 peratus GMPP) manakala PLC Pasaran ACE mengumumkan 55 GMPP (masing-masing 21 untuk 20 peratus GMPP dan 34 untuk 10 peratus GMPP).

Dari segi peratusan bilangan PLC dalam setiap pasaran, SC berkata PLC Pasaran ACE lebih lazim mengumumkan GMPP; sekitar 40 peratus daripada PLC Pasaran ACE mengumumkan GMPP pada 2020 berbanding hanya sekitar 10 peratus PLC Pasaran Utama dengan sektor paling aktif mengumumkan GMPP adalah Perindustrian dan Teknologi.

Menurut SC, penilaian dasar suruhanjaya itu menunjukkan bahawa banyak PLC mendapat manfaat daripada pelepasan 20 peratus GMPP (dan dasar 10 peratus GMPP sedia ada) yang berkemungkinan membantu mereka mengharungi pandemik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, SC berkata, industri menyaksikan perkembangan yang menggalakkan susulan pelancaran pelan tindakan bersama tiga tahun untuk industri perancangan kewangan pada 2020.

Pada penghujung 2021, sebanyak 20 peratus daripada firma perancangan kewangan mempunyai wakil yang memenuhi keperluan kecekapan tambahan untuk memberikan khidmat nasihat khusus kepada pelabur mengenai spektrum sekuriti yang lebih luas.

Sekuriti ini termasuk sekuriti tersenarai seperti ekuiti, debentur atau waran yang disenaraikan di Bursa Securities serta bon korporat atau sukuk tidak tersenarai.

Pelabur akan memperoleh pelan kewangan lebih komprehensif, sekali gus menggalakkan pendekatan lebih holistik terhadap perancangan pelaburan oleh industri.

Bagi mengukuhkan perdagangan antarabangsa, SC terus terlibat dalam pelbagai jawatankuasa serantau dan antarabangsa serta perjanjian perdagangan untuk menyokong keseluruhan agenda perdagangan dan ekonomi antarabangsa kerajaan.

Penyertaan dalam forum ini turut memudahkan akses ke pasaran Malaysia selain menjaga kepentingan pelabur Malaysia dan syarikat di luar negara.

Malah, penglibatan SC termasuk dalam Jawatankuasa Kerja Asean mengenai Perkhidmatan Kewangan Liberalisasi (WC-FSL), Kajian Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Persatuan Perdagangan Bebas Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Eropah (MEEPA). - Bernama