Pulau Banggi berpotensi jadi pengeluar pertanian, perikanan

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

KUDAT - Pulau Banggi yang kini didiami oleh kira-kira 30,000 orang berpotensi untuk dibangunkan sebagai antara pengeluar produk pertanian dan perikanan Sabah sekali gus meningkatkan sosioekonomi penduduknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Banggi Mohammad Mohamarin berkata pulau berkeluasan 440.7 kilometer persegi itu sesuai untuk tanaman mangga, kelapa dan nanas.

Pada masa ini tanaman itu hanya ditanam secara kecil-kecilan sebagai sumber makanan sendiri, katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya usaha membangunkan kegiatan itu telah disuarakan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong yang melawat pulau berkenaan baru-baru ini.

Dari segi perikanan pula, Mohammad yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, berkata sektor penternakan ikan dalam sangkar serta balat perlu diperluas menerusi bantuan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Turut dirancang ialah pembukaan pusat penginapan termasuk inap desa bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan pulau itu yang menerima kedatangan pelawat domestik menerusi perkhidmatan feri harian yang menghubungkan Pulau Banggi dan pekan Kudat, katanya.

Pulau Banggi yang berstatus daerah kecil merupakan pulau ketiga terbesar di negara ini dan mempunyai 90 buah kampung dengan penduduk terdiri daripada suku kaum Bonggi, Ubian, Kagayan, Bajau Laut dan Suluk.

Segala aktiviti utama pulau bertumpu di pekan Karakit yang menempatkan jeti, Pejabat Daerah Kecil Banggi, rumah rehat kerajaan, klinik kesihatan, balai polis serta sebuah hotel selain inap desa yang diusahakan penduduk.

Artikel Berkaitan:

Pulau itu juga mempunyai beberapa buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah. - Bernama