[VIDEO] Covid-19: ICU Kuala Lumpur, Selangor lebih 50 peratus

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan katil bagi kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di hospital Kuala Lumpur dan Selangor sudah melebihi 50 peratus dilaporkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kuala Lumpur mencatatkan peratusan tertinggi dengan 63 peratus diikuti Selangor iaitu 52 peratus.

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat kepada 187 pesakit atau 21 peratus.

"Bagi katil bukan ICU, Putrajaya merekodkan sebanyak 87 peratus diikuti Selangor sebanyak 73 peratus. Kuala Lumpur pula mencatatkan 56 peratus manakala Terengganu serta Melaka masing-masing 53 dan 51 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 16,863 kes baharu dilaporkan pada Ahad dengan 51.31 peratus atau 8,652 kes merupakan kategori satu.

Tambah beliau, bagi kes dalam kategori dua pula ialah 8,111 kes atau 48.10 peratus, kategori tiga (48 kes atau 0.28 peratus), kategori empat (29 kes atau 0.17 peratus) dan kategori lima (23 kes atau 0.14 peratus).

"Daripada 100 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan pada Ahad, sebanyak 30 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 44 kes menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 26 kes pula menerima dos penggalak, 69 kes berumur 60 tahun dan ke atas dan 63 kes mempunyai komorbid," katanya.